Ulasan Artikel - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


Ulasan Artikel

Tauhid tiga serangkai disyariat dalam Islam?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia 30/11/09

MINGGU ini kita menyambung kembali persoalan tauhid tiga serangkai yang telah pun diberikan lontaran awal pada dua minggu lepas. Sebelum soalan pertama dilontarkan mengenai tauhid tiga serangkai atau tauhid tiga bahagian yang diformulasikan atau direka oleh Ibnu Taimiyyah ini,

sebaiknya kita melihat dahulu secara ringkas definisi yang diberikan kepada ketiga-tiga tauhid ini.

Tauhid rububiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran dan perbuatan-Nya serta dalam memberikan suatu kesan.

Manakala tauhid uluhiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.

Tauhid Asma’ dan Sifat pula didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan disifatkan dengan diri-Nya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya atau yang didapati daripada lidah nabi-Nya yang telah menetapkan dengan apa yang telah ditetapkan bagi diri-Nya.

Dalam membincangkan pembahagian ini, maka perkara utama yang perlu dipersoalkan dan bincangkan ialah adakah pembahagian ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Adakah pembahagian ini merupakan perkara yang disyariatkan ataupun perkara baru yang dicipta (bidaah)?

Persoalan ini, mengandungi beberapa jawapan:

Jawapan Pertama

Ibnu Taimiyyah yang merupakan pereka pembahagian tauhid ini mendakwa dirinya bermazhab Hanbali.

Namun Imam Ahmad ibnu Hanbal r.a. sendiri, yang dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian tauhid bidaah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu mempunyai beberapa bahagian; tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan tauhid asma’ dan sifat.

Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah, tidak dikira makrifatnya tentang tauhid rububiah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin.

Sesungguhnya akidah Imam Ahmad ibn Hanbal r.a telah disusun di dalam kitab-kitab karangan pengikutnya. Misalnya, di dalam kitab biografinya yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dan lain-lainnya, tidak terdapat langsung pembahagian tauhid rekaan ini. Maka dari manakah Ibnu Taimiyyah mengambil tauhid ini?

Jawapan Kedua

Tidak berkata walau seorang daripada Sahabat-sahabat Nabi r.a: “Sesungguhnya tauhid itu ialah tauhid rububiah dan tauhid uluhiah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang tauhid uluhiah, maka tidak dikira makrifahnya tentang tauhid rububiyyah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin”.

Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada kami pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah.

Jawapan Ketiga

Tidak terdapat dalam sunnah Nabi SAW yang luas dan menjadi penjelas kepada kitab Allah, sama ada dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan-sunan, musnad-musnad dan mu’jam-mu’jam yang menyebut bahawa Nabi SAW pernah bersabda dan mengajar sahabat-sahabatnya, bahawa tauhid itu terbahagi kepada tauhid uluhiah dan juga rububiah yang telah diketahui oleh orang musyrik.

Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan.

Jawapan Keempat

Telah tercatat dalam sunnah yang banyak, bahawa dalam dakwah Rasulullah SAW mengajak manusia kepada Allah, Baginda SAW menyeru mereka ke arah penyaksian kalimah syahadah: Tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Baginda SAW juga mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala.

Di antara hadis yang paling masyhur menyebut tentang perkara ini ialah hadis Muaz ibnu Jabal r.a. Ketika beliau diutuskan oleh Nabi SAW ke Yaman, Baginda SAW bersabda kepadanya: Serulah mereka kepada penyaksian “Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah”. Sekiranya mereka mentaatinya, maka hendaklah kamu khabarkan kepada mereka bahawa diwajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. (riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya)

Diriwayatkan oleh pengarang kitab Sunan dan Ibnu Hibban, bahawa seorang Arab Badawi memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia telah melihat anak bulan. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan supaya berpuasa dan Baginda SAW tidak menyoalnya melainkan tentang pengakuannya terhadap kalimah syahadah. (diriwayatkan oleh Abu Daud, al Nasaei, al Tirmizi dan lain-lain)

Sekiranya tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian sebagaimana yang mereka perkatakan, maka sudah tentulah Nabi SAW menyeru sekelian manusia kepada tauhid uluhiah yang tidak mereka ketahui dan bukannya tauhid rububiah kerana mereka telah mengetahuinya.

Demikian juga, perlulah Baginda SAW bersabda kepada Muaz r.a, “Serulah mereka kepada tauhid uluhiah,” dan Baginda SAW bertanya terlebih dahulu kepada orang Arab Badawi yang melihat anak bulan Ramadan, “Adakah kamu mengetahui tentang tauhid uluhiah dan perbezaan di antara tauhid ini dengan tauhid rububiah, dan adakah kamu mengetahui tauhid asma’ dan sifat?”

Jawapan Kelima

Di dalam kitab Allah yang ternyata tidak dicemari dengan kebatilan, tidak membezakan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Begitu juga tidak dikatakan kepada mereka: Sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah tidak dikira imannya, bahkan dia adalah lebih kafir daripada Firaun dan Haman. Tetapi Allah SWT memerintahkan dengan kalimah tauhid secara mutlak sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi-Nya dalam surah Muhammad ayat 19: Ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah. Begitu jugalah dengan keseluruhan ayat tauhid yang disebut di dalam al-Quran.

Sekiranya kamu kehendaki, maka bacalah surah al-Ikhlas yang menyamai sepertiga al-Quran. Adakah kamu mendapati di dalamnya ayat yang membezakan di antara uluhiah dan rububiah sebagaimana yang mereka sangkakan?

Jawapan Keenam

Melalui pembahagian yang direka ini, memberi kefahaman kepada kita, seolah-olah Allah masih belum lagi menyempurnakan agama-Nya. Kemudian, datang seseorang yang kononnya untuk menyempurnakan agama Allah yang masih lagi mempunyai kekurangan dan menjelaskan tentang tauhid dan pembahagiannya kepada manusia pada kurun ke-7 Hijrah.

Pada kurun ini, lahirnya pembahagian tauhid uluhiah, rububiah, asma’ dan sifat yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah (661- 724 H). Seolah-olah semua umat tidak mengetahui tentang apa yang diperkenalkan oleh pemuka-pemuka pembahagian tauhid rekaan ini.

Selepas kita mengetahui jawapan daripada soalan pertama ini, yakinlah kita dengan sempurna bahawa tauhid ini tidak mempunyai sumber yang sah daripada al-Quran dan hadis.

Ia menunjukkan bahawa pembahagian ini hanyalah rekaan semata-mata. Persoalan kedua akan dikemukakan pada minggu hadapan, insya-Allah.

Wacana Ilmuan:

Sebenarnya saya muatkan artikel di atas untuk memberikan contoh bagi artikel yang tidak ilmiah. Ada beberapa sebab yang dapat dilihat menunjukkan artikel diatas tidak ilmiah:

1-Tidak berdasarkan kaedah pengistibatan yang betul.

Dengan hanya mendakwa konsep itu tidak ada dalam alquran dan sunnah, konsep itu terus didakwa tidak tepat, sedangkan tidak semua perkara yang berbentuk ijtihadi mesti ada dalam quran dan sunnah secara terperinci.

Konsep yang dianggap betul dan memenuhi tuntutan Islam ialah konsep 20, sedangkan konsep sifat 20 juga tidak disebut secara tepat dalam alquran dan sunnah. Bila ada orang yang bertentangan dengan pendapat kita maka kita akan kata ianya tidak ada dalam sunnah, sedangkan pendapat kita sediripun tidak ada dalam nas secara jelas. Tindakan sedemikian perlu kita jauhi kerana lebih bersifat provokasi sahaja.

2-Menyorok pendapat yang menyokong

Salah satu ciri artikel yang tidak baik ialah bila penulis hanya menyebut pandangan ulamak yang menyokong pendapat penulis, mencari-cari pula pandangan tokoh yang menghentam pihak yang ditolak pendapatnya.

Apabila tidak ada langsung pandangan ulamak yang menyokong pihak yang ditolak maka pembaca menyangka perkara itu menjadi kesepakatan para ulamak. Sebaiknya penulis perlu menyebut bahawa ada ulamak yang tidak menyokong beliau. Contohnya dalam artikel diatas, penulis sepatutnya memberitahu bahawa ulamak tersohor masakini Dr Yusuf Qardawi menerima konsep Tauhid yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiah. Kalaupun tidak mahu menyebut barisan ulamak lain cukuplah sekadar menyebut beberapa tokoh sahaja.

3-Menjadikan perkara khilafiah sebagai qatiyah

Antara ciri artikel tidak ilmiah ialah bila penulis membesarkan masaalah khilafiah sehingga mencapai tahap qatie. Dengan itu perbincangan akan tertumpu pada mencari manakah kumpulan yang betul dan mana pula yang sesat walaupun pada hakikatnya perbincangan tertupu pada mana yang lebih tepat.

Mudah-mudahan sedikit komen saya pada artikel diatas akan memberi panduan kepada penulis untuk membaiki mutu tulisan masing-masing.


Pandangan anda dihargai

About The Author

10 thoughts on “Ulasan Artikel”

  1. Salam Ustaz,

    Bagi peminat Ibnu Taimiyyah, sudah tentu sebarang ulasan yang bersifat negatif terhadapnya akan dipandang sinis, dituduh tidak bersifat ilmiah dan sebagainya.

    Yang mengherankan saya, apabila alim ulamak ASWJ merumuskan pengajian tauhid menggunakan sifat 20, mereka dituduh terpengaruh dengan falsafah, terlalu payah mempelajarinya dll. Sedangkan mereka (iaitu para ulamak salaf ) telah menggalinya daripada Al-Quran dan hadith. Mana kurangnya ilmiah mereka?

    Sebaliknya, apabila Ibnu Taimiyyah terpengaruh dengan falsafah seumpamanya mengatakan alam ini qadim, tiada tuduhan (mahupun sebarang penilaian) dibuat oleh golongan yang mendakwa berfahaman salaf abad 21 ini. Sebaliknya, mereka membela kenyataan itu sebagai masalah furuk. Apabila alam ini qadim, maksudnya alam ini wujud sejak azali. Jadi siapakah yang menciptanya? Allah bersifat qadim. Alam ini yaitu makluk besifat qadim. Jadi Allah Taala sama dengan makhluk? Sesungguhnya, kenyataan yang mengatakan bahawa alam ini qadim adalah sesat dan menyesatkan.

    Jadi, kesimpulannya, tak perlulah kita berselindung disebalik alasan "ilmiah" untuk mempertahankan kebatilan. Kebenaran itu sebenarnya mudah diperolehi. Nas-nasnya jelas dan sarih di dalam Al-Quran dan hadith. Umum mengetahui apa akhirnya tauhid tiga serangkai ini akan membawa kita (“leading towards what”).

    Sesungguhnya Allah Taala memberikan pentunjuk dan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Hatta, seorang tukang sapu, sekiranya diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah Taala adalah lebih mulia daripada seorang profesor di menara gading yang tidak mendapat hidayah.

    Wallahu a'lam bissawab.

    Abu Danish

  2. Saya mengkritik artikel diatas kerana menuduh pemikiran Ibnu Taimiah sesat sebab tauhid yang diperkenalkan tidak disebut dalam nas secara tepat. Yang saya persoalkan ialah sifat 20 juga tidak disebut secara tepat dalam nas mengapa pula ianya tidak sesat? . Abu Danish nampaknya emotional lalu mengatakan bahawa tauhid jenis itu telah diketahui kesan negatifnya, tuan, boleh tuan jelas kan apakah kesan negatifnya?

    Saya sebenarnya bukan dari orang yang percaya dengan pendekatan Ibnu Taimiah sahaja, bagi saya pendekatan adalah masaalah sampingan tapi saya tidak dapat menerima jika kesimpulan yang salah dibuat kepada beliau dan pemikiran beliau

    Adapun ungkapan ini:
    Sesungguhnya Allah Taala memberikan pentunjuk dan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Hatta, seorang tukang sapu, sekiranya diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah Taala adalah lebih mulia daripada seorang profesor di menara gading yang tidak mendapat hidayah.

    Saya tidak nampak ungkapan diatas sebagai bahan perbincangan, saya pun percaya begitu, kalau saya tukarkan ayat seperti dibawah pun maksudnya sama juga:

    Sesungguhnya Allah Taala memberikan pentunjuk dan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Hatta, seorang profesor di menara gading, sekiranya diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah Taala adalah lebih mulia daripada seorang tukang sapu yang tidak mendapat hidayah.

  3. Jawapan saya:

    1. Saya tidak berhajat untuk menjawab soalan ustaz berkenaan negatifnya Tauhid 3 Serangkai itu kerana ianya banyak telah diperkatakan. Banyak juga tulisan-tulisan berkenaannya yang lebih bersifat ILMIAH. Persoalannya ialah sama ada untuk menerimanya atau tidak sahaja. Pada saya, soalan ustaz mungkin lebih besifat "rebuttal rather than seeking the truth".

    2. Mungkin saya boleh bertanya kembali "Di mana di dalam penulisan tersebut yang mengatakan "pendekatan" Ibnu Taimiyyah sesat? Pendekatan ("metdod") dan pemikiran ("thoughts")adalah 2 perkara yang berbeza. Dalam pandangan yang saya lontarkan sebelum ini, saya berhujah berkenaan pemikiran dan fatwa-fatwa Ibnu Taimiyyah yang menyalahi bukan saja ijmak ulamak tetapi juga nas-nas Al-Quran dan Hadith. Pemikiran beliau diambil pula oleh Muhammad Bin Abdul Wahab dan didokong oleh segelintir golongan ilmuan (akademik?) di Malaysia ini. Persoalan Wahabi ini sebenarnya telah selesai. Majoriti ulamak kita menolakknya. Ada hujah dan dalilnya. Tak payahlah kita memandai-mandai membuat pandangan kita sendiri yang mengelirukan masyarakat. Bukankah ini boleh membawa perpecahan namanya.

    3. "Point" saya yang terakhir adalah mudah. Mutakhir ini, segelintir orang Islam becakap tentang tajdid, pembaharuan dan macam-macam retorik tanpa memberikan penekanan kepada ilmu. Mereka mudah menfatwa, berijtihad, membawa fahaman itu dan ini yang mereka sendiri tidak mendalami ilmu-ilmu yang perlu bagi melayakkan mereka. Pelajar-pelajar universiti dan kolej yang masih berhingusan diseru bertajdid, berijtihad dsbnya. Untuk berijtidah ada syarat dan adabnya. Ajarkan dulu yang ini. Amalan yang menungkah arus perdana yang tidak memperdulikan syarat dan adabnya ini kalau tidak dibendung, sebenarnya boleh merusakkan umat Islam.

    Memang benar, hidayah itu milik Allah Taala. Banyak ilmuan yang mempunyai ilmu yang tinggi (PhD berganda)tetapi tidak diberi pentunjuk dan hidayah olehNya. Banyak yang mengaji sampai ke menara gading hatta sehingga menjadi mufti sekalipun, kalau Allah Taala "menghijabkan" kebenaran, dia tidak akan nampak cahaya kebenaran itu. Inilah yang dibimbangi.

    Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai hamba Allah. Saya bimbang kalau-kalau kita menyebabkan orang lain tergelincir dan berpegang dengan iktiqad yang batil melalui ceramah-ceramah dan penulisan kita. Oleh itu, biarlah kita lebih berhati-hati dan jangan terlalu melulu "mengayuh bahtera perubahan". Amat perlu kita merujuk kembali kepada para ulamak yang muktabar dan yang disepakati (ijmak) kerana tidak mungkin majoriti umat Islam yang sesat.

    ABU DANISH

  4. Saya masih menegaskan bahawa polemik ini bukan perkara asas tetapi sebaliknya bersifat ijtihadi,

    Saudara mengatakan Ibnu Taimiah mengatakan alam ini Qadim, saya harap saudara dapat berikan dimana sumber ini diambil, ini kerana pemikiran alam qadim datang dari falsafah dan Ibnu Taimiah menolak pemikiran tersebut. Sebaliknya yang menganggap alam qadim adalah Ibnu Sina, Al Farabi, al Razi,Ibnu Rushd.

    Perlu diingatkan juga bahawa para ulamak tidak menghukumkan kufur secara mutlak terhadap ulamak yang berpendapat demikian kerana mereka mempunyai gambaran tersendiri dalam memahami makna alam. Saya tidak mahu kita terjebak membincangkan lebih detail tentang apakah maksud alam itu qadim kerana persoalan itu tidak menjadi perbincangan pemikiran semasa.

    Saya juga menganggap tuan telah menggunkan emosi kerana menganggap orang yang berilmu sekarang mungkin tidak mendapat hidayah, kalau kita kata mungkin dapat hidayah pun boleh juga kerana ianya dibina diatas perkataan mungkin, perbuatan menghukum dengan mungkin adalah tidak ilmiah, habis masaalah umat yang banyak dan memerlukan penyelesaian tidak boleh dirungkai kerana mungkin kita tidak diberi petunjuk, saudara, penggarapan terhadap polemik umat dan persoalan yang di bincangkan tidak bersifat ma'sum oleh itu ianya terbuka untuk perbincangan bagi orang-orang yang mampu berbuat demikian sebagai menjalankan amanah ilmu.

  5. Saudara Abu Danish, mcm mana anda boleh kata Ibnu Taimiah mengatakan alam tu qadim sedangkan dalam Majmu' Fatawa muka surat 191 jilid 5, Ibnu Taimiah menolak dengan panjang lebar pemikiran ibnu Sina yang mengatakan alam itu qadim.

  6. Salam,

    Abu Danish mungkin tersalah faham.
    Banyakkan pembacaan dan rujukan, kurangkan terjah menerjah, sabar.

    'Abdullah

  7. Salam,

    Abu Danish mungkin tersalah faham.
    Banyakkan pembacaan dan rujukan, kurangkan terjah menerjah, sabar.

    'Abdullah

  8. Salam,

    Abu Danish mungkin tersalah faham.
    Banyakkan pembacaan dan rujukan, kurangkan terjah menerjah, sabar.

    'Abdullah

  9. Salam,

    Abu Danish mungkin tersalah faham.
    Banyakkan pembacaan dan rujukan, kurangkan terjah menerjah, sabar.

    'Abdullah

  10. Salam,

    Abu Danish mungkin tersalah faham.
    Banyakkan pembacaan dan rujukan, kurangkan terjah menerjah, sabar.

    'Abdullah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 2
  • 6
  • 11,798
  • 0