Tafsir Jumaat: Surah Ali Imran 83-89 - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


Tafsir Jumaat: Surah Ali Imran 83-89

83-
أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُون
84
قُلْ آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ عَلَيْنَا وَمَا أُنزِلَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَى وَعِيسَى وَالنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لاَ نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
85-
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
86-
كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْمًا كَفَرُواْ بَعْدَ إِيمَانِهِمْ وَشَهِدُواْ أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ وَجَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
87-
أُوْلَئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ وَالْمَلائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
88-
خَالِدِينَ فِيهَا لاَ يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلاَ هُمْ يُنظَرُونَ
89-
إِلاَّ الَّذِينَ تَابُواْ مِن بَعْدِ ذَلِكَ وَأَصْلَحُواْ فَإِنَّ اللَّه غَفُورٌ رَّحِيمٌ


Ayat ini menerangkan bahawa Bani Israel di zaman nabi-nabi terdahulu telah Islam, tetapi anak-anak dan keturunan mereka telah kufur dan syirik kepada Allah. Sifat ini menjadi semakin buruk kerana Yahudi di zaman berlakunya kekufuran bermegah-megah dengan datuk nenek mereka yang Islam Mereka bermegah dengan datuk nenek mereka yang beriman tetapi mereka sendiri kufur!!!

[83]Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan.

Perhatikan ayat diatas, Allah menjelaskan penyelewengan manusia dan kemudiannya menjelaskan kekuasaanNya. Adalah tidak lojik untuk manusia menentang Allah kerana Allah menguasai langit dan bumi!!!

Kalau Allah menguasai langit dan bumi mengapa pula manusia kafir? Lihat kepada ‘tuhan-tuhan’ yang disembah selain Allah. Bukankah mereka disembah lantaran kekaguman terhadap mereka. Ada kaum yang menyembah matahari kerana kagum dengan matahari, ada yang menyembah gajah kerana kagum dengan binatang itu. Sayangnya kekaguman itu tidak sebenar. Mengapa tidak kagum dan tunduk kepada Allah sedangkan seluruh makhluk tunduk kepadanya, tidak seperti sembahan yang lemah itu.

Apakah bukti semua yang ada di dunia dan langit tunduk kepada Allah? Kalau manusia tunduk kepada Allah amat mudah untuk difahami, tapi bagaimana seluruh alam dikatakan tunduk kepada Allah? Manusia tidak mendengar mereka memuji dan berzikir kepada Allah!!! Ya zikir dan memuji dengan suara dan gerakan adalah sifat manusia. Bukti seluruh alam taat kepada Allah ialah mereka tidak dapat lari dari mengikut sistem alam yang ditetapkan oleh Allah. Hukum alam yang ditetapkan itu terpaksa diterima oleh pokok, binatang, cakrawala dan semua makhluk. Bumi berpusing di atas paksinya, bergerak melalui orbitnya, iulah antara ketetapan alam pada bumi dan segala planet. Mereka tidak dapat melanggar ketetapan Allah!!! Begitu juga manusia, begitu juga haiwan, masing-masing terpaksa akur, tunduk dan patuh.

Jika plenet itu kamu dapati sebenarnya lemah, jika haiwan kamu dapati lemah, jika pokok, batu dan diri kamu sendiri adalah lemah maka…..

[84]Katakanlah (wahai Muhammad): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)”.

Inilah kesan ilmu. Inilah kesan kajian dan penelitian. Mengesakan Allah. Semua makhluk terasa kerdil, kecil tidak berkuasa. Penyerahan, harapan, ketaatan hanya kepada Allah. Terlerailah tuhan-tuhan selainNya. Terbatallah keegoan di depan kekuasaannya…hancurlah sembahan yang terdiri dari batu-batan yang tak bernyawa, atau tokoh dan individu yang dipuja atau syaitan dan iblis …semuanya rendah dan hina disisi Allah.

[85]Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

[86]Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum yang zalim.

Allah tidak menzalimi mereka bila tidak memberi hidayah kepada mereka. Ini kerana Allah menjadikan sesuatu dengan sebab musabab. Apabila mereka memahami kebenaran tetapi membencinya bagaimana mereka boleh menerima dan mendapat hidayah? Seseorang yang ikhlas mencari kebenaran akan senang menerimanya bila dia menjumpai kebenaran yang dicari itu. Tetapi ianya tidak mungkin berlaku kepada orang yang telah memahami kebenaran tetapi masih membencinya. Jika itulah perangainya maka…

[87]Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya sekalian orang-orang (yang beriman).

[88]Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau perhatian

[89]Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani

Pandangan anda dihargai

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 1
  • 10
  • 11,806
  • 0