*TADABBUR WAHYU SIRI 894* *Surah al-Maidah: 96-97* Rahsia Kemuliaan Kaabah Dan Tanah Haram - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


*TADABBUR WAHYU SIRI 894* *Surah al-Maidah: 96-97* Rahsia Kemuliaan Kaabah Dan Tanah Haram

*TADABBUR WAHYU SIRI 894*

*Surah al-Maidah: 96-97*

Rahsia Kemuliaan Kaabah Dan Tanah Haram

 

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ ٱلْبَحْرِ وَطَعَامُهُۥ مَتَـٰعًۭا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ ۖ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ ٱلْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًۭا ۗ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِىٓ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

 

  1. Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.

 

Ayat ini mengekalkan hukum membunuh binatang laut dan tidak mengharamkannnya. Menurut Ibnu Asyur sebab diharusan binatang laut ialah kerana ia tidak terdapat pada masa seseorang mengerjakan ibadat haji. Tambah beliau lagi, ini kerana larangan berburu adalah sebagai menghormati kemuliaan Kaabah dan Tanah Haram

 

Dalam rangkap kedua ayat ini, sekali lagi ditegaskan bahawa orang yang berada dalam ihram diharamkan untuk berburu binatang di darat. Ia sekali gus menegaskan bahawa keharusan berburu binatang laut tidak menyebabkan diharuskan juga berburu binatang darat bagi orang yang berada dalam ihram.

 

جَعَلَ ٱللَّهُ ٱلْكَعْبَةَ ٱلْبَيْتَ ٱلْحَرَامَ قِيَـٰمًۭا لِّلنَّاسِ وَٱلشَّهْرَ ٱلْحَرَامَ وَٱلْهَدْىَ وَٱلْقَلَـٰٓئِدَ ۚ ذَٰلِكَ لِتَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَأَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

 

  1. Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang-binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

Ayat ini antara lain menerangkan tentang hikmah dilarang melakukan perburuan dalam masa ihram dan hikmah larangan berburu  binatang di kawasan tanah haram. Ayat ini juga menerangkan tentang  nikmat Allah yang telah menjadikan tanah haram sebagai tempat yang aman serta kunjungan  manusia untuk beribadat dan berniaga.

 

Kaabah dari sudut bahasa bermaksud sesuatu yang jelas dan timbul, setiap yang timbul akhirnya dinamakan dengan kaaabah mengambil sempena dengan rumah Allah yang terkenal itu. Kaabah juga dinamakan dengan Baitillah al-Haram iaitu rumah Allah yang haram. Menurut Ibnu Asyur maksud haram disini ialah dilarang. Ia bermaksud dilarang untuk dilakukan padanya kejahatan dan kezaliman.

 

Oleh itu, kalau tidak kerana kemuliaan Kaabah dan kemulian Bulan Haram yang dilakukan padanya ibadat haji, nescaya penduduk Mekah yang terdiri dari orang-orang Arab tidak akan dapat mengambil kesempatan untuk melakukan ibadah dan menjalankan perniagaan di sana. Tanpa keamanan yang diberikan oleh Allah sudah tentu mereka akan sentiasa dalam kekacawan yang menggangu ketenteraman hidup.

 

Kaabah telah didirikan oleh nabi Ibrahim dengan ditentukan pula kawasan haramnya yang luas. Ini bagi memberi keamanan kepada penduduk Mekah dan sesiapa sahaja yang memasuki kawasan itu. Bagi menguatkan lagi kedudukannya sebagai tempat yang aman, maka Allah telah mengamankan juga binatang yang hidup dalam kawasannya dengan tidak boleh diburu oleh sesiapa. Akhirnya Kaabah menjadi tempat orang-orang Arab menuntut keadilan apabila dizalimi.

 

Dengan keadaan ini, orang-orang Mekan dimuliakan oleh orang-orang Arab dikawasan lain. Mereka tidak diganggu dalam perjalanan ketika menjalankan perniagaan. Dengan itu kabilah Arab  Quraish menjadi pedagang dan kewujudan mereka diperlukan oleh kabilah-kabilah lain kerana mereka membawa barang-barang keperluan yang diperlukan keseluruh pelosok Tanah Arab.

 

Apabila Islam bertapak di Mekah, orang-orang Quraish telah menjadi pendakwah dan penyebar Islam yang mudah diterima oleh orang-orang Arab di kawasan lain. Ini kerana mereka sebelum ini telah menjadi tuan rumah kepada Tanah Haram dan Kaabah. Ibadat haji dan umrah telah pun menjadi amalan semenjak zaman jahiliah dan diterima dalam ajaran baru  dengan sedikit perubahan. Situasi ini memberikan kesan yang mendalam dalam penyebaran agama Islam dan penerimaan masyarakat ketika agama ini mula bertapak.

 

Inilah yang dimaksudkan dengan ayat diatas yang meletakkan sifat Allah Yang Maha Mengetahui. Kerana Allah telah  menyuruh nabi Ibrahim mendirikan Kaabah pada zaman yang awal, kemudian setelah berlalu masa yang lama barulah manusia dapat memahami rahsia Allah menjadikan Kaabah sebagai “qiyam” dan pusat perhatian kepada manusia yang  akhirnya menjadi punca penyebaran hidayah Allah kepada manusia dan asas dalam mendirikan ibadah kepadaNya.

 

Ustaz Dr Rosli Mokhtar

drrosli.com

tadabburwahyu.com

 

28 Sya’ban 1444

21 Mac 2023

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:

TADABBUR WAHYU SOLUTION (Am Bank 8881052306539) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

 

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 1
  • 6
  • 11,798
  • 0