TADABBUR WAHYU SIRI 893 *Surah al-Maidah: 95* Hukum Khas Berkaitan Kesucian Tanah Haram - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


TADABBUR WAHYU SIRI 893 *Surah al-Maidah: 95* Hukum Khas Berkaitan Kesucian Tanah Haram

TADABBUR WAHYU SIRI 893

*Surah al-Maidah: 95*

Hukum Khas Berkaitan Kesucian Tanah Haram

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَقْتُلُوا۟ ٱلصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌۭ ۚ وَمَن قَتَلَهُۥ مِنكُم مُّتَعَمِّدًۭا فَجَزَآءٌۭ مِّثْلُ مَا قَتَلَ مِنَ ٱلنَّعَمِ يَحْكُمُ بِهِۦ ذَوَا عَدْلٍۢ مِّنكُمْ هَدْيًۢا بَـٰلِغَ ٱلْكَعْبَةِ أَوْ كَفَّـٰرَةٌۭ طَعَامُ مَسَـٰكِينَ أَوْ عَدْلُ ذَٰلِكَ صِيَامًۭا لِّيَذُوقَ وَبَالَ أَمْرِهِۦ ۗ عَفَا ٱللَّهُ عَمَّا سَلَفَ ۚ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ ٱللَّهُ مِنْهُ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌۭ ذُو ٱنتِقَامٍ

 

  1. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya dapat dia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab siksa.

 

Ayat ini menyambung perbincangan ayat yang lepas berkenaan dengan kemuliaan Tanah Haram. Dalam ayat ini dijelaskan bahawa orang yang berada dalam ihram juga tidak boleh membunuh binatang buruan. Dengan itu pengharaman berkenaan membunuh binatang buruan berkait dengan dua keadaan. Pertama kerana berada dalam ihram dan sebab larangan kedua ialah binatang yang diburu itu adalah binatang yang hidup dalam tanah haram.

 

Hikmah daripada larangan ini ialah kerana Allah telah memuliakan kedudukan kaabah semenjak zaman nabi Ibrahim lagi. Dengan itu, tanah haram dijadikan sebagai kawasan khas bagi kaabah sepertimana raja-raja memiliki kawasan larangan masing-masing.

 

Kawasan larangan bagi kaabah ialah tanah haram dan ia menjadi tempat yang aman untuk manusia dan dilanjutkan juga kepada binatang yang hidup dalam kawasan tersebut, sehingga manusia melihat samada kaabah atau tanah haram adalah tempat yang aman.

 

Selain itu, diharamkan untuk berburu kepada mereka yang sedang dalam ihram samada ihram haji atau umrah. Ini kerana berburu akan mengganggu keadaan binatang dan mengeluarkan mereka dari situasi aman.

 

Bukan sekadar itu sahaja, Islam telah mengharamkan daripada berperang pada bulan haram kerana padanya terdapat ibadah haji dan umrah. Selain itu, pengharaman berburu kepada orang yang berada dalam ihram juga bagi mengelakkan mereka memburu binatang yang sememangnya berada dalam tanah haram.

 

Para ulama Islam sepakat mengatakan bahawa larangan ini ditujukan kepada mereka yang berada dalam tanah haram Mekah, sementara para ulama berbeza pandangan berkenaan dengan tanah haram Madinah.

 

Hukuman yang diperkanalkan oleh syariat yang dibawa oleh nabi saw sebenarnya merupakan keringanan dari apa yang telah diamalkan oleh orang-orang Arab dalam zaman jahiliah. Ini kerana mereka memukul orang-orang yang berburu dalam keadaan ihram dan mereka menanggalkan pakaian pesalah itu.

 

Para ulama sepakat mengatakan bahawa hukuman dikenakan kepada mereka yang sengaja melakukan perburuan, adapun bagi mereka yang terlupa, maka para ulama berbeza pandangan samada mereka dikenakan denda atau tidak.

 

Balasan bagi mereka yang melakukan ialah dengan menyembelih binatang ternakan yang hampir sama dengan binatang yang mereka buru, mengikut pandangan Imam Malik dan Imma Syafie.

 

Imam Abu Hanifah pula berpandangan  ia adalah dalam bentuk mengeluarkan denga pada harga yang setara.  Walau apa pun pandangan ulama, hikmah bagi hukuman ini adalah sebagai peringatan dan denda kepada mereka agar tidak mengulangi lagi perbuatan itu.

 

Para ulama juga berbeza pandangan berkaitan pilihan bagi hukuman yang ditawarkan iaitu samada menyembelih binatang yang hampir sama dengan binatang yang dibunuh atau memberi makan orang misikin atau berpuasa. Perbezaan pandangan ini berlaku kerana lafaz yang digunakan oleh ayat di atas ialah “au” bermaksud atau.

 

Sebahagian mereka menyatakan bahawa ia bermaksud pilihan secara mutlak dan sebahagian pula berpandangan pilihan terhadap kifarah itu apabila tidak mampu untuk memenuhi tuntutan yang lebih utama.

 

Perincian perbincangan berkaitan perkara ini boleh dilihat dalam kitab-kitab fekah kerana ia telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh para ulama.  Wallahuaalam.

 

Ustaz Dr Rosli Mokhtar

drrosli.com

tadabburwahyu.com

 

19 Sya’ban 1444

12 Mac 2023

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:

TADABBUR WAHYU SOLUTION (Am Bank 8881052306539) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 1
  • 6
  • 11,798
  • 0