*TADABBUR WAHYU SIRI 891* Kewajipan Manusia Mengikuti Dakwah Nabi Yang Jelas Dan Nyata - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


*TADABBUR WAHYU SIRI 891* Kewajipan Manusia Mengikuti Dakwah Nabi Yang Jelas Dan Nyata

*TADABBUR WAHYU SIRI 891*

*Surah al-Maidah: 92*

Kewajipan Manusia Mengikuti Dakwah Nabi Yang Jelas Dan Nyata

 

وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَٱحْذَرُوا۟ ۚ فَإِن تَوَلَّيْتُمْ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلْبَلَـٰغُ ٱلْمُبِينُ

 

  1. Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.

Setelah menerangkan secara spesifik kewajipan mentaati Allah dalam perkara yang melibatkan arak dan judi iaitu dengan meninggalkan kedua-dua perbuatan itu, kita didatangkan suruhan dalam bentuk yang umum.

Suruhan mentaati Allah dan RasulNya dalam ayat ini dinyatakan secara umum bagi menunjukkan bahawa masih banyak lagi kewajipan yang perlu dipatuhi oleh seorang muslim dalam melaksanakan ajaran agama.

Ini bermakna mentaati Allah dan Rasul bukan hanya sekadar dengan menjauhkan diri dari arak dan judi semata-mata. Sebaliknya ajaran agama mencakupi segenap bidang kehidupan manusia.

Dengan itu, seorang muslim mestilah berhati-hati dalam menjalani kehidupan agar mereka tidak terjerumus kedalam perkara yang dilarang oleh Allah.

Seterusnya ayat ini menerangkan bahawa kewajipan mentaati Allah dan RasulNya adalah kewajipan yang membawa kebaikan kepada manusia sendiri. Adapun Allah dan RasulNya tidak mendapat manfaat dan mudarat dari apa yang dilakukan oleh mansuia.

Bagi menjelaskan keadaan ini, ayat di atas menerangkan bahawa kedudukan nabi saw hanyalah orang yang dipertanggungjawabkan menyampaikan ajaran Allah. Sesiapa yang enggan menerima ajaran yang dibawa oleh Baginda tidak mampu memudaratkan Allah dan Rasulnya sedikit pun.

Baginda juga tidak memiliki kuasa menghukum manusia dan mengadilli mereka, apa yang ada ialah Baginda diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan ajarannya. Baginda sedikt pun tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang Baginda cintai.

Dakwah yang disampaikan oleh Baginda disifatkan sebagai jelas dan nyata bagi menguatkan bukti bahawa Baginda saw telah menjalankan tugas tersebut sebaik mungikn sehingga dakwah itu telah diketahui dengan jelas dan nyata oleh manusia.

Keadaan dakwah nabi yang jelas dan nyata itu juga menjadikan seseorang itu tidak boleh memberi alasan untuk menolak agama Islam dan petunjuknya kerana ajaran itu telah ditinggalkan oleh utusan Allah dalam keadaan jelas dan nyatan ajarannya.

Semoga kita termasuk dikalangan orang-orang yang menyampaikan dakwah Baginda kepada manusia dan termasuk juga dikalangan orang-orang yang mengamalkan risalah dakwah yang telah disampaikan itu. Amin

Ustaz Dr Rosli Mokhtar

drrosli.com

tadabburwahyu.com

 

11 Sya’ban 1444

4 Mac 2023

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 1
  • 6
  • 11,798
  • 0