*TADABBUR WAHYU SIRI 888* Makan Makanan Yang Halal Dan Mentaati Sumpah Adalah Akhlak Islam - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


*TADABBUR WAHYU SIRI 888* Makan Makanan Yang Halal Dan Mentaati Sumpah Adalah Akhlak Islam

*TADABBUR WAHYU SIRI 888*

*Surah al-Maidah: 88-89* 

*Makan Makanan Yang Halal Dan Mentaati Sumpah Adalah Akhlak Islam*

 

وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُم اللَّهُ حَلالاً طَيِّبًا وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ.

  1. Ayat ini merupakan penegasan terhadap larangan mengharamkan perkara yang harus dan dibenarkan oleh agama. Adapun isu yang disebut ialah memakan dari rezeki allah. Menurut ibnu asyur, disebutkan memakan kerana kebanyakan tindakan orang yang mengharamkan nikmat allah kepada manusia ini ialah mereka mengharamkan makanan tertentu. Oleh itu tuhan menyebut sesuatu yang dianggap salah oleh manusia.

Dengan itu ayat ini mengajak kepada menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah, dengan itu janganlah kamu melanggar batas-batas halal dan haram kerana kamu akan mengkufuri nikmat Allah dan tidak menghargai kurniaanNya.

Ayat ini ditutup dengan rangkap terakhir yang mengajak kepada ketaqwaan . Ini kerana iman seorang muslim itu perlu diikat dengan sifat taqwa dan disuburkan dengannya.

لَا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغْوِ فِىٓ أَيْمَـٰنِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ ٱلْأَيْمَـٰنَ ۖ فَكَفَّـٰرَتُهُۥٓ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَـٰكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍۢ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍۢ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّـٰرَةُ أَيْمَـٰنِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَٱحْفَظُوٓا۟ أَيْمَـٰنَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُون.َ

  1. Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.

Ayat ini merupakan lanjutan daripada perbincangan mengenai perbuatan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Maksud diharamkan disini ialah seseorang yang bersumpah untuk mengharamkan keatas dirinya sesuatu yang pada asalnya halal untuk dirinya.

Menurut Ibnu Asyur, tindakan orang arab menjadikan pengharaman mereka terhadap sesuatu melalui sumpah dengan menyebut nama Allah. Namun demikian mereka juga menggunakan gaya sumpah ketika menunjukkan kemarahan, atau ketika menegaskan seesuatu pengakuan.

Perincian hukum-hakam berkaitan dengan sumpah telah dibincangkan secara umum dalam surah al-Baqarah. Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa sumpah yang diambil kira oleh Allah dan dianggap berdosa jika melanggarnya ialah sumpah yang dilaukan secara tegas dan jelas untuk tujuan itu.

Perbuatan melanggar sumpah dinamakan “hanath” hukuman yang dikenakan kepada orang yang melanggar sumpah pula dipanggil kaffarah. Ia berasal dari perkataan kafara bermaksud penutup. Ini kerana jika seseorang telah bersumpah dan mahu menutup sumpah itu maka hendaklah dia melakukan kaffarah yang mampu menutup sumpahnya dan setelah itu dia tidak berdosa bila melakukan perkara yang sebelum ini telah diakui secara bersumpah untuk dijauhi.

Imam Malik dan Imam Syafie berpandangan adalah harus untuk menunaikan kaffarah sebelum dari berlakunya perlanggaran terhadap sumpah.

Ayat ini juga menyeru umat Islam menjaga sumpah mereka dengan cara tidak melanggar sumpah yang diucapkan dengan nama Allah. Yang demikian itu demi menunjukkan kepada kemulliaan nama Allah dan pengagungan terhadap sifatnya.

Selain itu umat Islam juga digesa supaya tidak mudah mengucapkan kata-kata sumpah dalam percakapan supaya mereka menjaga kebesaran nama Allah dengan menggunakannya kepada perkara yang serius sahaja.

Ustaz Dr Rosli Mokhtar

drrosli.com

tadabburwahyu.com

28 Rejab 1444

19 Februari 2023

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:

TADABBUR WAHYU SOLUTION (Am Bank 8881052306539) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 2
  • 6
  • 11,798
  • 0