*TADABBUR WAHYU SIRI 885*
*Surah al-Maidah: 82-83*
Tidak Semua Yang Bukan Islam Memusuhi Islam
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لاَ يَسْتَكْبِرُونَ.
- Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
Kesimpulan dari sikap Yahudi dan Nasrani terhadap dakwah nabi saw, al-Quran menjelaskan perseteruan yang lebih kuat dari pihak Yahudi serta percubaan berterusan mereka untuk berkonfrantasi.
Sementara penerangan al-Quran tetang pihak Nasrani lebih menfokuskan kepada kelalaian dan penyelewengan mereka dari sudut kepercayaan dan akidah. Ayat ini tidak menjelaskan tentang penentangan mereka terhadap dakwah nabi saw.
Bahkan, ayat ini mengakui bahawa qissis atau pandita Nasrani Arab terkenal sebagai orang-orang yang mulia dari sudut akhlak dan pergaulan dengan manusia. Qisis adalah ketua agama sementara rahib ialah ahli ibadah yang menghabiskan masa melakukan ibadah digereja-gereja.
Kewujudan qissis dan rahib ini menjadi jambatan antara kaum Muslimin dan Nasrani. Kebanyakan mereka daripada Arab Syam yang telah memeluk agama Nasrani hasil berinteraksi dengan kerajaan Rom. Mereka terkenal dengan kezuhudan dan akhlak yang mulia sehingga perkara ini banyak disebut dalam syair-syair Arab.
Kewujudan qisis dan ruhban ini juga menjadi faktor kepada terbentuknya akhlak mulia dikalangan pengikut ajaran mereka. Dalam sejarah Arab jahiliah antara penganut Nasrani yang terkenal dengan kemuliaan akhlak ialah Zuhair, Labid, Waraqah bin Naufal dan ramai lagi.
Imam al-Tabari meriwayatkan bahawa 8 orang pandita Nasrani dari Syam telah datang menemui Bagainda saw. Rombongan mereka datang daripada Habsyah, bersama mereka pandita Nasrani Habsyah seramai 60 orang. Mereka sebenarnya mengiringi sahabat-sahabat yang sebelum ini telah berhijrah ke Habsyah pada zaman dakwah diperingkat Mekah. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke tujuh hijrah. Sebaik sahaja al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka dengan rela hati telah menerima dakwah nabi saw dan memeluk Islam.
وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَى أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنْ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنْ الْحَقِّ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ.
- Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
Imam al-Tabari dan al-Wahidi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas serta Mujahid bahawa orang-orang Nasrani yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah lapan orang Nasrani dari Syam yang berada di negara Habsyah dan datang ke Madinah bersama enam puluh dua rahib dari Habsyah mengiringi orang Islam yang pulang dari hijrah mereka ke Habsyah, mereka mendengar al-Quran dan akhirnya menambil keputusan untuk memeluk Islam.
Menurut Ibnu Asyur ayat ini juga berkemungkinan memberitahu nabi tentang terdapatnya orang-orang yang beriman dari kalangan kaum Nasrani yang terpencil dan tidak diketahui. Ini kerana dari sudut sejarah tidak pernah diriwayatkan berlakunya pengislaman sekumpulan kaum Nasrani dari mana-mana tempat secara beramai-ramai. Dalam masa yang sama ayat ini dari sudut penurunannya merupakan ayat yang turun diakhir hidup nabi saw.
Orang-orang Nasrani yang bersifat dengan sifat-sifat yang di atas iaitu insaf dan mengalirkan air mata apabila mendengar ayat-ayat al-Quran, maka mereka adalah orang-orang lebih hampir dalam mencintai umat Islam.
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
drrosli.com
tadabburwahyu.com
24 Rejab 1444
15 Februari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (Am Bank 8881052306539) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu