*TADABBUR WAHYU SIRI 878* *Surah al-Maidah: 72* *Kewajipan Menjaga Kesucian Iman Dan Ketulinannya* - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


*TADABBUR WAHYU SIRI 878* *Surah al-Maidah: 72* *Kewajipan Menjaga Kesucian Iman Dan Ketulinannya*

*TADABBUR WAHYU SIRI 878*

*Surah al-Maidah: 72*

*Kewajipan Menjaga Kesucian Iman Dan Ketulinannya*

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَابَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ .

  1. Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata:” Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang , p9un bagi orang-orang yang berlaku zalim”.

 

Ayat ini sebenarnya hampir sama dengan ayat 17 dalam surah ini. Dalam ayat ini Allah ceritakan penyelewengan yang berlaku terhadap pengikut Nabi Isa. Mereka nyatakan bahawa Allah bersatu dalam diri Nabi Isa, sedangkan kepercayaan itu ditolak oleh nabi Isa sendiri.

 

Baginda berkata sembahlah Tuhanku dan Tuhan kamu. Dengan itu prinsip ketuhanan dalam agama Islam adalah sangat jelas seperti yang sedia dimaklumi. Iaitu tidak ada tuhan kecuali Allah. Tidak ada percampuran dan kekeliruan antara Tuhan dan Nabi.

 

Mereka yang mengatakan nabi Isa tuhan sebenarnya mahu menggambarkan adanya hulul dan ittihad. Iaitu jasad Nabi Isa sebenarnya adalah jelmaan dari Tuhan. Iktikad seperti ini jelas tersasar dan telah ditolak oleh ayat ini dengan sejelas-jelasnya.

 

Tidak sepatutnya umat Islam terpengaruh dengan teori penjelmaan Tuhan dalam bentuk makhluk. Akidah seperti ini telahpun dipercayai oleh Bani Israel tetapi ditolak oleh al-Quran bahkan ditolak nabi Isa sendiri.

 

Ayat ini juga menjelaskan bahawa perbuatan di atas adalah sebahagian daripada amalan syirik yang menjadikan adanya Tuhan selain Allah.

 

Sehubungan dengan itu Allah menjelaskan bahawa siapa yang melakukan syirik terhadapNya, mereka tidak akan dapat masuk syurga Allah di hari akhirat nanti. Inilah iktikad yang jelas serta padu dalam agama Islam.

 

Prinsip Islam ialah sesiapa yang syirik, maka mereka akan kekal di dalam neraka dan tidak akan dapat merasai nikmat syurga sedikitpun.Adapun kepercayaan bahawa semua agama adalah sama dan membawa kepada syurga di akhirat nanti merupakan kepercayaan yang tersasar dari akidah sebenar.

 

Prinsip ini bukan disebutkan dalam ayat ini sahaja, tetapi terdapat dalam seluruh perbincangan al-Quran, kerana ia adalah asas penting yang tidak diperselisihkan lagi oleh umat Islam.

 

Rangkap terakhir dalam ayat ini menjelaskan bahawa orang-orang yang melakukan syirik kepada Allah adalah orang-orang yang zalim. Ini kerana mereka telah memberikan kedudukan yang sangat tinggi kepada pihak yang tidak berhak, mereka menjadikan tuhan-tuhan selain Allah sebagai sesuatu yang diagungkan dan disembah.

 

Dalam masa yang sama mereka telah bertindak zalim dengan menafikan kedudukan Allah yang tidak boleh ditandingi dan disaingi oleh sesiapa pun. Dengan tindakan seperti itu mereka sebenarnya telah menzalimi diri mereka sendiri kerana menjerumuskan diri ke dalam azab Allah dan kemurkaannya.

 

Kesimpulannya, asas ajaran Islam ialah mengesakan Allah dan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Hanya orang yang mengesakan Allah dengan mentauhidkanNya akan diberikan syurga dan dihindari dari neraka Allah di hari akhirat nanti.

 

Ustaz Dr Rosli Mokhtar

www.drrosli.com

 

16 Rejab 1444

7 Februari 2023

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  • 0
  • 4
  • 13,747
  • 0