TADABBUR WAHYU SIRI 876
Surah al-Maidah: 71
Tertipu Dengan Diri Sendiri
وَحَسِبُوا أَلاَّ تَكُونَ فِتْنَةٌ فَعَمُوا وَصَمُّوا ثُمَّ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ثُمَّ عَمُوا وَصَمُّوا كَثِيرٌ مِنْهُمْ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ.
71. Dan mereka juga menyangka bahawa tidak akan berlaku sebarang bencana, lalu mereka membutakan mata dan memekakkan telinga, kemudian Allah menerima taubat mereka, setelah itu kebanyakan dari mereka membutakan mata dan memekakkan telinga lagi. Padahal Allah Maha Melihat akan apa yang mereka lakukan.
Ayat ini menjelaskan kesan daripada iktikad salah kaum Yahudi yang menyangka mereka adalah kaum yang mulia dan tidak akan diazab oleh Allah. Dengan itu, mereka merasakan bahawa azab Allah tidak akan dikenakan kepada mereka.
Menurut Ibnu Asyur, jenayah yang dilakukan oleh orang Yahudi berbeza dengan jenayah orang lain dari sudut mereka melakukannya bukan secara lalai atau dalam keadaan merasakan telah bersalah.
Sebaliknya kaum Yahudi melakukan kejahatan dalam keadaan mereka merasakan apa yang dilakukan itu tidak jahat kerana mereka adalah orang yang dimuliakan oleh Allah. Bagi mereka kemuliaan itu memboleh kan mereka melakukan apa sahaja sesuka hati.
Dengan itu mereka meremehkan azab Allah di dunia setelah mereka meremehkan azab Allah di hari akhirat.
Menurut Ibnu Asyur, keadaan yang sama akan berlaku kepada mana-mana masyarakat yang telah menjalar dalam diri masyarakat itu kepincangan akidah, sehingga satu-satunya objektif dalam kehidupan mereka hanyalah habuan keduniaan.
Pada ketika itu mereka cenderung mengharapkan untuk mendapat kejayaan akhirat tanpa berusaha dengan melakukan amal soleh. Mereka mahu hasil yang lumayan tanpa sebarang usaha. Dengan kesilapan itu harapan untuk mendapat kejayaan bertukar menjadi kegagalan dan kebinasaan.
Kesimpulannya merasakan diri mulia dan suci, sehingga yakin akan mendapat ganjaran syurga tanpa iman dan amal, atau tidak berdosa ketika melakukan kejahatan adalah ciri-ciri orang yang tertipu dengan diri sendiri. Semoga Allah menyelamatkan kita semua dari sifat buruk seperti ini. Amin
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
www.drrosli.com
15 Rejab 1444
6 Februari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (Am Bank 8881052306539) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu