TADABBUR WAHYU SIRI 871
Surah al-Maidah: 66
Orang-orang Yang Bertaqwa Dijanjikan Dengan Keberkatan Hidup
وَلَوْ أَنَّهُمْ أَقَامُوا التَّوْرَاةَ وَالإِنجِيلَ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِمْ مِنْ رَبِّهِمْ لَأَكَلُوا مِنْ فَوْقِهِمْ وَمِنْ تَحْتِ أَرْجُلِهِمْ مِنْهُمْ أُمَّةٌ مُقْتَصِدَةٌ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ سَاءَ مَا يَعْمَلُونَ.
- Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.
Ayat ini menerangkan jika sekiranya Bani Israel menegakkan perintah Allah nescaya mereka akan hidup dalam keberkatan. Orang-orang Yahudi mengaku mereka beriman dengan kitab Taurat sedangkan mereka sendiri tidak mempraktikkan ajaran kitab suci itu. Mereka menolak kedatangan nabi Isa dan penurunan kitab Injil tetapi mereka mendakwa mereka beriman dengan nabi Musa dan kitab Taurat.
Dari sudut sebab nuzul ayat di zaman nabi saw, ayat ini menggambarkan kesusahan yang dihadapi oleh kaum Yahudi setelah penurunan al-Quran dan kebangkitan nabi Muhammad saw. Kaum Yahudi kehilangan pengaruh sedikit demi sedikit dalam masyarakat Madinah. Penguasaan ekonomi juga semakin mengucup dari hari kehari.
Keadaan menjadi semakin serius apabila Bani Israel telah terpaksa hidup melarat setelah dihalau dari Madinah. Semua itu adalah hasil percubaan mereka untuk membunuh nabi saw dan menjatuhkan pemerintahan Baginda saw dengan kekerasan.
Dalam ayat di atas Allah menyatakan:
مِنْهُمْ أُمَّةٌ مُقْتَصِدَةٌ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ سَاءَ مَا يَعْمَلُونَ.
Maksudnya: Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.
Seperti kebiasaan al-Quran, apabila menyebut keburukan sesuatu pihak, maka dijelaskan juga kebaikan pihak lain dari kalangan mereka. Walaupun kejahatan Bani Israel telah melampau batas, kemurkaan Allah terhadap mereka senagat besar, akan tetapi hal ini tidak menyebabkan Allah berlaku zalim.
Salah satu tanda kezaliman sesuatu pihak ialah apabila menafikan kebaikan yang dilakukan oleh pihak yang dimarahi. Hal inilah yang sering berlaku dikalangan manusia yang bersengketa. Namun dalam ayat ini Allah telah memberikan contoh yang baik kepada manusia untuk dijadikan ikutan.
Kemurkaan Allah kepada Ahli kitab tidak menjadikan oleh bertindak menafikan kebaikan yang dilakukan oleh sebahagian dari mereka. Kebaikan adalah kebaikan walaupun dilakukan oleh siapa sahaja.
Dengan itu mengiktiraf kebaikan yang dilakukan oleh pihak yang jahat tidak akan membawa apa-apa permasalahan kepada masyarakat bahkan ia menonjolkan kepada manusia bahawa sifat adil itu mengatasi segala perkara.
Kesimpulannya menusia haruslah menjaga batas-batas syarak dan intipati ajaran Allah kerana ia akan membawa kepada kebahagiaan. Dalam masa yang sama antara praktikal ajaran Islam yang penting ialah sifat adil dalam semua urusan termasuklah adil dalam berhubung dengan orang yang tidak sependapat dengan kita.
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
www.drrosli.com
8 Rejab 1444
30 Januari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (Am Bank 8881052306539) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu