TADABBUR WAHYU SIRI 868
Surah al-Maidah: 64
Bentuk-bentuk Kejahatan Yang Membinasakan
وَقَالَتْ الْيَهُودُ يَدُ اللَّهِ مَغْلُولَةٌ غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ وَلُعِنُوا بِمَا قَالُوا بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيْفَ يَشَاءُ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ مَا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ طُغْيَانًا وَكُفْرًا وَأَلْقَيْنَا بَيْنَهُمْ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الأَرْضِ فَسَادًا وَاللَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ.
64. Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil – kikir)”, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurniaNya luas melimpah-limpah). Ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Ia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.
Menurut Ibnu Asyur, yang dimaksudkan dengan Yahudi di sini ialah orang-orang Yahudi yang tidak bertindak menjadi kaum munafik. Mereka mengucapkan kata-kata kufur secara terang-terangan. Sementara orang-orang munafik pula bermuka-muka di depan nabi saw.
Dari sudut bahasa, orang-orang Arab menggunakan perumpamaan dengan “tangan terbelenggu” bagi menunjukkan kepada kebakhilan dan “tangan terhulur” sebagai tanda pemurah.
Ayat ini menggunakan perkataan tangan, sudah tentu jika digunakan teknik biasa salaf yang tidak mahu mentakwilkan perkataan tangan akan membawa kepada ayat ini sukar difahami. Adalah terlalu mudah untuk memahami bahawa makna tangan terbelenggu disini ialah sifat bakhil.
Setelah menyatakan tuduhan kaum Yahudi bahawa tangan Allah terbelenggu maka al-Quran menjawab tuduhan itu dengan mengatakan bahawa kedua-dua tangan Allah terhulur. Ungkapan ini adalah bermaksud Allah sangat pemurah.
Menurut Ibnu Asyur lagi, penggunaan “kedua-dua tangan Allah” tidak lain dan tidak bukan bagi menguatkan sifat memberi dan pemurah yang ada pada Allah. Sudah tentu seorang muslim tidak akan memahami melalui ayat ini bahawa Allah memiliki dua tangan seperti tangan manusia.
Ini kerana sifat Allah ialah tidak ada suatu pun yang menyerupainya. Oleh itu apabila ada ayat yang menyifatkan Allah dengan sifat yang menyerupai makhluk maka secara langsung ianya akan ditafsirkan sebagai kiasan terhadap sifat-sifat tertentu.
Tuduhan orang-orang Yahudi bahawa Allah tidak memberi dan bakhil adalah tuduhan yang sangat keji. Ini kerana ia melibatkan tindakan merendah-rendahkan tuhan yang memberikan kepada manusia segala nikmat dan kebaikan. Tuduhan seperti ini ditolak oleh naluri manusia yang murni serta akal yang waras.
Bersambung….
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
www.drrosli.com
3 Rejab 1444
25 Januari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (Am Bank 8881052306539) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu