TADABBUR WAHYU SIRI 862
Surah al-Maidah: 55-56
Tuntutan Mengambil Orang Beriman Sebagai Wali
إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ.
- Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).
وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمْ الْغَالِبُونَ.
- Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang.
Setelah menerangkan larangan mengambil orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali, kini dijelaskan pula kewajipan untuk mengambil orang beriman sebagai wali.
Sebenarnya, menghuraikan ayat-ayat berkenaan mengambil wali adalah sangat mencabar kerana sering difahami bahawa wali yang dimaksudkan disini ialah pemimpin secara umum. Hal ini perlu diberikan perincian sepertimana yang telah disentuh dalam ayat-ayat sebelum ini.
Adalah tidak adil untuk memahami ayat ini secara terpisah dari ayat-ayat sebelumnya, dan jika dilihat dalam skop ayat-ayat sebelum ini didapati bahawa suasana kehidupan pada zaman ayat ini turun ialah perseteruan antara kaum Yahudi dan Nasrani serta orang-orang mushrikin yang mahu menolak dakwah nabi saw.
Sedar dengan keadaan ini Imam Fakhruddin al-Razi dan Ibnu Asyur serta para pentafsir lain menghubungkan ayat ini dengan peristiwa penurunannya. Ia adalah pujian kepada orang-orang yang tidak mahu bersama kaum Yahudi yang mahu melawan nabi saw.
Apabila berlakunya kekalahan tentera Islam dalam peperangan Uhud, orang -orang Yahudi dan munafik mendapat nafas baru, dalam percubaan mereka untuk menjatuhkan kepimpinan nabi saw di Madinah.
Dengan itu, mereka lebih agresif berbanding sebelum ini, dan lebih bersemangat menimbulkan kekacawan dalam saf umat Islam. Selepas peperangan Uhud yang menyaksikan kekalahan tentera islam, berlaku pula peristiwa al-Rajie dan peristiwa Bi’ru al-Maunah. Kesemua itu menyaksikan kematian puluhan tentera Islam dan sudah tentunya membakar semangat musuh untuk terus berusaha.
Dalam salah satu situasi nabi saw berada di perkampungan Bani Nadhir,Jibrai memberitahu agar nabi saw segera balik ke Madinah. Ini kerana ketika itu, Yahudi Bani Nadhir sedang merancang untuk membunuh Baginda saw.
Dengan pantas Baginda nabi saw balik ke Madinah dan memberi amaran kepada Bani Nadhir terhadap pengkhaianatan yang telah dilakukan. Dengan tindakan itu mereka sebenarnya telah melanggar prinsip perlembagaan Madinah.
Perlembagaan Madinah telah menggariskan persaudaraan setiap penduduk Madinah dan mewajibkan mereka untuk taat kepada kepimpinan Rasulullah saw. Berikutan pencerobohan Yahudi Bani Nadhir terhadap perlembagaan itu, nabi saw telah bertindak menghalau mereka dari Madinah dan perkampungan Bani Nadhir.
Pada mulanya pihak Bani Nadhir setuju untuk meninggalkan perkampungan mereka. Namun mereka menarik balik pendirian itu setelah menerima maklumat dari Abdullah bin Ubai bahawa kaum munafikin akan bersama Yahudi Bani Nadhir. Abdullah bin Ubai berjanji jika berlaku pertempuran dengan tentera Madinah kaum munafik akan membantu pihak Bani Nadhir.
Mendengarkan janji munafikin itu Bani Nadhir memberitahu nabi saw bahawa mereka sedia bertempur dan tidak akan meninggalkan perkampungan mereka dengan sukarela. Keadaan itu memaksa nabi saw menyediakan satu ketumbukan tentera untuk menawan Bani Nadhir yang digambarkan oleh al-Quran sebagai satu kabilah yang digeruni kerana memiliki kubu yang kuat.
Bersambung….
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
www.drrosli.com
25 Jumadil Akhir 1444
18 Januari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (Am Bank 8881052306539) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu