TADABBUR WAHYU SIRI 861 Surah al-Maidah: 54 Mereka Yang Menyumbang Pada Jalan Allah Itulah Sebenarnya Orang Yang Beruntung - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


TADABBUR WAHYU SIRI 861 Surah al-Maidah: 54 Mereka Yang Menyumbang Pada Jalan Allah Itulah Sebenarnya Orang Yang Beruntung

*TADABBUR WAHYU SIRI 861*

Surah al-Maidah: 54

Mereka Yang Menyumbang Pada Jalan Allah Itulah Sebenarnya Orang Yang Beruntung

54. Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

Allah juga membangkitkan orang-orang yang membantu agamanya dari kalangan bangsa-bangsa lain selain Arab, mereka cinta kepada Islam dan bangkit mempertahankan agama Allah dengan harta dan jiwa raga.

Sejarah telah membuktikan bagaimana bangsa Barbar, Qibti, orang-orang Eropah, Parsi, India dan sebagainya telah menjadi pejuang agama Allah yang berjasa. Ditangan mereka berekembang pesatnya penyebaran agama Islam di timur dan barat.

Peranan orang-orang Melayu sendiri dalam menyebarkan agama Islam dan menjaganya dari pencerobohan musuh, segar dalam lipatan sejarah dan tidak dapat disangkal lagi.

Menurut Ibnu Asyur ayat ini juga menerangkan beberapa sifat orang beriman yang memperjuangkan agama Allah iaitu:

I. Mereka mencintai Allah.

II. Mereka merahmati orang beriman dan sentiasa berkhidmat untuk kemaslahatan mereka.

III. Mereka tegas terhadap orang kafir. Mengikut Ibnu Asyur, ia bermaksud megimbangi sifat lembut dan merendah diri dengan ketegasan, ketika keadaan memerlukan. Ia menggambarkan kehebatan seseorang kerana tidak lembut dan merendah diri dalam semua keadaan. Sebaliknya bertindak bersesuaian dengan keperluan dan keadaan.

Menggabungkan dua sifat yang bertentangan dalam diri seseorang di panggil dalam bahasa sebagai “thibaq”. Maksud tegas terhadap orang kafir juga tidak bermakna orang beriman disuruh untuk bertindak kasar kepada orang bukan Islam yang hidup dalam negara sebagai warganegara.

IV. Mereka berjihad pada jalan Allah dan ia merupakan tanda benarnya iman seseorang. Jihad di sini bermaksud menunjukkan kesungguhan dan memberikan sumbangan kepada jalan Allah dalam bentuk yang bersesuaian dengan tuntutan semasa.

V. Mereka tidak takut kepada kutukan dan cacian orang yang suka mengutuk. Ia merupakan salah satu tanda benarnya iman seseorang kerana manusia takut untuk melakukan sesuatu walaupun baik demi untuk mengelakkan diri dari menerima ejekan dan kutukan orang.

Ayat diatas memberikan gambaran bahawa orang-orang beriman tidak takut kepada semua jenis kutukan dan ejekan dan mereka tidak takut kepada seluruh orang yang mengejek dan mengutuk.

Kesimpulannya siapa yang lari dari tanggungjawab mengabdikan diri kepada Allah dan menyumbang terhadap agamaNya, maka merekalah yang akan rugi. Ini kerana Allah adalah Tuhan Yang Maha Kaya dan Maha Berkuasa. Dia tidak memerlukan pertolongan manusia tetapi manusialah yang memerlukan kepada pemberian dan rahmat Allah.

Ustaz Dr Rosli Mokhtar
www.drrosli.com

23 Jumadil Akhir 1444
16 Januari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 2
  • 10
  • 11,806
  • 0