TADABBUR WAHYU SIRI 860 Surah al-Maidah: 54 Mereka Yang Menyumbang Pada Jalan Allah Itulah Sebenarnya Orang Yang Beruntung - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


TADABBUR WAHYU SIRI 860 Surah al-Maidah: 54 Mereka Yang Menyumbang Pada Jalan Allah Itulah Sebenarnya Orang Yang Beruntung

TADABBUR WAHYU SIRI 860

Surah al-Maidah: 54

Mereka Yang Menyumbang Pada Jalan Allah Itulah Sebenarnya Orang Yang Beruntung

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لاَئِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ.

  1. Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

 

Selepas  memberi amaran terhadap musuh umat Islam dan mengingatkan umat Islam tentang sebab-sebab kelemahan, maka sampai masanya untuk mengingatkan bahawa semua itu adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan umat Islam agar sentiasa beriltizam dengan agama Allah.

Perkataan mutad berasal dari perkataan riddah. Iaitu kembali kepada suatu keadaan asal sebelum ini. Istilah ini digunakan memandangkan keadaan orang Islam di zaman awal berasal dari orang yang masuk Islam dan sebelumnya memeluk berbagai kepercayaan dan kebanyakan daripada mereka adalah penyembah berhala. Dengan itu, keluar dari agama Islam bermakna kembali kepada keadaan asal mereka.

 

Istilah ini telah diterima pakai walaupun terhadap orang Islam yang dilahirkan dalam Islam dan bertindak keluar dari agama ini.

 

Ayat ini juga mengisyaratkan bahawa disebalik gesaan untuk menganut agama Islam ini,, Allah tidak mendapat apa-apa manfaat dari apa yang disyariatkan. Walaupun jika berlaku pengkhianatan dan manusia keluar dari agama Islam, Allah tidak akan terjejas, sebaliknya akan tetap ada mereka yang memperjuangkan agama Allah di sepanjang zaman.

Ayat ini juga mengisyaratkan bahawa tindakan orang munafik yang mengambil orang Yahudi  bagi melawan nabi saw adalah jalan menuju kepada kemurtadan. Dengan itu perlu dijelaskan dengan tegas bahawa Islam tidak memerlukan mereka jika mereka mahu meninggalkan agama Allah ini.

Ayat ini menerangkan bahawa agama ini akan tetap ada mereka yang memperjuangkannya dan ia tidak memerlukan Ooang yang belot dan enggan untuk bersama-sama dengan Rasul serta orang-orang yang beriman.

Menurut Ibnu Asyur, penurunan ayat ini berlaku di akhir kehidupan Nabi saw dan ia menjadi isyarat kepada peristiwa yang akan berlaku selepas kewafaan Baginda saw. Peristiwa yang dimaksudkan ialah peristiwa riddah.

Peristiwa riddah telah melanda orang-orang Arab selepas kematian nabi saw. Ianya telah berlaku dengan banyaknya dalam pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq, seperti berlaku kepada  al-Aswad al-Ansi di Yaman, Talhah bin Khuwailid dalam kabilah Bani Asad, Musailimah al-Hanafi di Yaman dan ramai lagi.

Riddah atau keluar dari agama Islam berlaku juga secara beramai-ramai dengan tindakan qabilah-qabilah Arab yang murtad secara beramai-ramai. Kabilah Fazarah, kabilah Ghatfan, Bani Tamim , Kinda dan sebagainya telah mengistiharkan murtad .

Walaubagaimana pun, tindakan tangkas Abu Bakar al-Siddiq yang memerangi kabilah-kabilah yang murtad ini telah merencatkan aktiviti mereka. Tindakan tegas dari Abu Bakar itu menyaksikan bagaimana perubahan drastik berlaku.

Semenjak usaha untuk memecah belahkan kerajaan yang dikuasai oleh Abu Bakar gagal, satu fenomena baru telah terbentuk. Keadaan ketika itu menyaksikan bagaimana janji Allah dalam ayat di atas telah dikotakan. Yang demikian itu dengan Allah membangkitkan orang-orang yang cinta kepada agamaNya. Hal ini berlaku samada dari kalangan orang-orang yang telah berlaku riddah terhadap mereka atau generasi baru.

Generasi yang cinta kepada Allah dan RasulNya, generasi yang penuh cinta kepada agama Islam yang mulia. Contoh yang dapat diberikan ialah antaranya Amru bin Maad. Beliau sebenarnya dari kalangan orang yang telah mengistiharkan murtad dan menentang Islam, namun telah kembali bertaubat dan membaiki kesilapan beliau.

Amru bin Maad telah membuktikan taubat beliau, dengan menjadi seorang yang sangat beriltizam dengan ajaran Islam. Beliau menjadi salah seorang pahawan terbilang dan menyertai banyak peperangan  antaranya peperangan Yarmuk dan al-Qadisiyyah. Beliau akhirnya terkorban syahid dalam peperangan al-Nahawand.

bersambung…

 

Ustaz Dr Rosli Mokhtar

www.drrosli.com

 

22 Jumadil Akhir 1444

15 Januari 2023

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:

TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 1
  • 6
  • 11,798
  • 0