TADABBUR WAHYU SIRI 857
Surah al-Maidah: 52
Allah Mendedahkan Hakikat Sebenar Orang Munafik
فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِم يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنفُسِهِمْ نَادِمِينَ.
- Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya.
Ayat ini mengaitkan kelemahan iman dan penyakit yang ada dalam hati manusia akan terserlah apabila berlakunya perkara yang memerlukan kepada keyakinan yang tinggi dan kekuatan iman.
Mengikut Ibnu Asyur, yang dimaksukan orang-orang yang ada di dalam hati mereka penyakit ialah orang munafik, sifat ini menggambarkan orang munafik kerana mereka menunjukkan keiman kepada nabi saw sedangkan di dalam hati mereka ada penyakit kufur dan syirik.
Apabila keadaan getir dan memerlukan keimanan yang sejati, maka jelaslah apa yang disembunyikan selama ini dari pengetahuan manusia.
Kata-kata mereka “kami takut ditimpa bencana” bukanlah menafikan sifat takut yang ada secara semula jadi dalam diri manusia. Sifat berjaga-jaga dari terjerumus dalam perkara yang bahaya adalah baik dan termasuk dalam ajaran agama.
Sifat berhati-hati dan mengambilkira risiko sesuatu perbuatan adalah akhlak terpuji yang selalu diamalkan oleh nabi saw dan sahabat. Namun demikian apa yang mahu ditonjolkan disini ialah ketakutan yang negatif. Ketakutan yang dinyatakan itu tidak sebenar, ia menyimpan sifat munafik yang sememangnya mencari peluang untuk melakukan pembelotan.
Orang munafik Madinah kebanyakannya adalah orang Yahudi yang berpura-pura beriman, apabila berlakunya kekalahan tentera Madinah dalam peperangan Uhud, mereka mengambil peluang untuk menyatakan keperluan untuk berada dibawah penguasaan orang Yahudi. Sedangkan bersama mereka utusan Allah yang sentiasa diberikan pertolongan oleh Allah dalam setiap urusannya.
Keyakinan terhadap nabi saw sebagai utusan Allah sebenarnya sudah cukup untuk meletakkan keyakinan bahawa perjuangan mereka akan dibantu oleh Allah dan mereka akan mampu mengatasi situasi getir ketika berdepan dengan pihak musuh. Namun demikian Allah mahu mendedahkan keadaan mereka yang sebenar lalu terjelamlah hakikat diri mereka.
Kesimpulannya, seseorang itu boleh menyembunyikan kejahatan yang ada dalam hatinya, namun keadaan tertentu sering mendedahkan hakikat itu kepada orang lain. Justeru, perlu sekali manusia memperbetulkan apa yang ada dalam hatinya agar dia tidak menyesal diatas perbuatnnya yang tidak bermanfaat itu.
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
www.drrosli.com
20 Jumadil Akhir 1444
13 Januari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟