*TADABBUR WAHYU SIRI 857*
*Surah al-Maidah: 51*
Larangan Mengambil Orang Yahudi dan Nasrani Sebagai Wali
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ.
51.Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.
Ayat ini sekali imbas mengandungi makna yang sangat senang difahami, iaitu larangan mengambil orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman rapat. Namun demikian pada hakikatnya ayat ini agak sukar untuk difahami secara mendalam.
Penulis mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan kupasan ayat ini memandangankan perbahasan berkaitan ayat ini agak panjang. Pandangan ulama tafsir juga berbeza dalam mengupas ayat ini.
Secara mudahnya dapat disimpulkan bahawa ayat mengandungi dua makna yang berbeza. Ini kerana pada zahirnya ayat ini melarang orang Islam dari menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai “wali”. Perkataan wali dalam bahasa arab mengandungi beberapa maksud.
Perbincangan berkenaan makna wali ini telah dijelaskan dalam perbincangan Tadabbur Wahyu ayat 28 surah ‘Ali Imran. Dalam perbincangan ayat ini, telah dijelaskan makna wali membawa maksud pemimpin dan orang yang dikasihi.
Namun demikian makna ini terlalu umum menyebabkan sebahagian ulama memahaminya dengan maknanya yang umum dan sebahagiannya memperincikan maksud yang dikehendaki.
Selain daripada perbincagan berkenaan makna wali, para ulama juga berbeza pandangan disebabkan dari sudut praktikal di zaman nabi saw, kaum muslimin bermuamalat dengan orang Yahudi dan Nasrani dengan cara biasa seperti berjual beli dan sebagainya. Bahkan pernah orang Yahudi berkonflik dengan Saidina Ali sehingga hukuman dijatuhkan menyebelahi Yahudi itu.
Atas dasar ini antara ulama yang mentafsirkan ayat ini dengan panjang lebar ialah Syeikh Muhammad Rasyed Redha. Beliau menjelaskan bahawa ayat diatas bermaksud tidak boleh mengambil orang Yahudi, Kristian dan orang kafir lain jika mereka sedang melancarkan peperangan dan permusuhan terhadap negara dan umat Islam.
Beliau berpandangan tidak salah melakukan perhubungan dengan ahli kitab dalam kehidupan seharian dan tidak salah mempunyai perasaan sayang kepada mereka berdasarkan hujah beriktu:
- Nabi telah mengiktiraf kaum ahli kitab sebagai penduduk Madinah yang setaraf dengan orang Islam dari sudut hak dan tanggung jawab dalam perlembagaan Madinah.
- Al-Quran telah membenarkan orang beriman berkahwin dengan perempuan ahli kitab dan memakan sembelihan mereka.
- Ayat-ayat yang melarang menjadikan mereka wali dihubungkan dengan permusuhan yang dilakukan dan bukan kerana kekufuran mereka semata-mata.
- Ayat 8 surah mumtahanah dengan jelas tidak melarang orang beriman untuk berhubung dengan orang bukan Islam yang tidak memerangi negara dan umat.
Berdasarkan hujah-hujah di atas Syeikh Rasyed Redha menolak pandangan yang dikemukakan oleh Imam al-Zamakhsyari dan Imam al-Baidhawi yang mentafsirkan larangan ini sebagai larang melakukan hubungan kemanusiaan dengan mereka.
Bahkan Syeikh Rasyed Redha menceritakan pada suatu ketika beliau menghadiri satu satu majlis di mana pembentang menggunakan pandangan Baidawi yang melarang orang Islam melantik orang kafir sebagai pemimpin.
Hal ini menimbulkan kekeliruan hadirin pada masa itu sedangkan kerajaan Othmaniayah yang memerintah ketika itu ada melantik dikalangan bukan Islam sebagai wakil dan pegawai kerajaan. Kupasan dari kitab tafsir al-BAidawi itu telah memberi gambaran kepada hadirin bahawa kerajaan Othmaniyah telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran. Justeru Syeikh Muhammad Rasyed Redha telah tampil dan menjelaskan tafsiran yang terperinci seperti pendirian beliau diatas. Dengan penjelasan itu keadaan menjadi tenang semula.
Imam Fakhruddin al-Razi menyatakan larangan daripada mengambil orang kafir sebagai wali bermaksud larangan meredai agama dan perbuatan kufur yang dilakukan. Perbuatan demikian membawa kekufuran yang serupa.
Kesimpulnnya Allah melarang umat Islam dari menjadikan kaum Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin dalam perseteruan mereka menjatuhkan umat Islam. Hal ini telah berlaku apabila orang munafik Madinah menyebelahi orang-orang Yahudi yang cuba menggugat kestabilan Madinah dibawah kepimpinan nabi Muhammad saw.
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
www.drrosli.com
19 Jumadil Akhir 1444
12 Januari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu