TADABBUR WAHYU SIRI 855 Surah al-Maidah: 49 Cekal Dalam Memartabatkan Tuntutan Agama - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


TADABBUR WAHYU SIRI 855 Surah al-Maidah: 49 Cekal Dalam Memartabatkan Tuntutan Agama

TADABBUR WAHYU SIRI 855

Surah al-Maidah: 49

Cekal Dalam Memartabatkan Tuntutan Agama

وَأَنْ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنْ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ.

49.Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

Dalam ayat ini Allah menyuruh nabi saw untuk memutuskan hukuman yang dirujuk kepada Baginda oleh pihak kaum Yahudi dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Dalam masa yang sama Baginda saw dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan tipu muslihat kaum Yahudi yang mahu menjadikan nabi saw tergelincir dari kebenaran.

Dalam peristiwa yang berlaku terhadap Baginda, rombongan Yahudi yang datang menemui telah menutup ayat kitab Taurat demi menyembunyian hukuman yang ada dalam kitab mereka.

Sememangnya mengubah perlaksanaan kebenaran dan keadilan bukan sahaja dalam bentuk menutup fakta dengan tangan seperti yang berlaku pada zaman dahulu. Pihak yang melaksanakan keadilan dan menjatuhkan hukuman yang saksama sering dikelirukan dengan seribu satu macam helah oleh pihak yang berkonflik di hadapan hakim.

Oleh itu bersesuaian dengan peredaran zaman, maka nasihat agar tidak terpedaya dengan tipu muslihat mereka yang mahu lari dari kebenaran, membuatkan perlunya masyarakat kepada satu sistem perundangan yang adil. Ia terdiri penambah baikan dari sudut undang-undang dan penghakiman secara keseluruhan.

Tuntutan itu telah dilalui ole manusia dalam perjalanan sejarah hidup mereka sehinggalah kita menyaksikan sistem penghakiman yang ada pada hari ini. Selain itu, pembaruan dan penambah baikan dalam sistem penghakiman ini perlu dilakukan dari semasa kesemasa, supaya tujuan mencapai keadilan dalam meletakkan hukuman itu dapat dicapai dalam masyarakat.

Dalam ayat ini al-Quran memberikan alasan terhadap apa yang telah dilakukan oleh kaum Yahudi. Mereka disifatkan telah melakukan tipu-muslihat dan percubaan untuk lari dari kebenaran kerana dosa-dosa mereka yang telah menjauhkan diri mereka dari keredaan Allah.

Mengikut Ibnu Asyur, al-Quran juga menyatakan bahawa kebanyakan manusia bersifat fasik. Ini bagi menghilangkan kesedihan pada diri nabi saw khususnya apanila Baginda menyedari bahawa bukan Yahudi sahaja yang bersifat demikian sebaliknya sememangnya ramai yang bersifat demikian.

Kesimpulannya perjuangan menegakkan kebenaran dan mewujudkan masyarakat yang patuh kepada undang-undang memerlukan kepada kesungguhan dan kesabaran yang panjang. Ia tidak disenangi oleh sebahagian daripada mereka yang suka melanggar undang-undang demi menjaga kepentingan peribadi dan kumpulan mereka. Hal ini tidak sepatutnya mematahkan semangat pejuang keadilan kerana itulah sunah alam dalam setiap perjuangan.

Ustaz Dr Rosli Mokhtar

www.drrosli.com

17 Jumadil Akhir 1444

10 Januari 2023

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:

TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 1
  • 6
  • 11,798
  • 0