*TADABBUR WAHYU SIRI 854*
*Surah al-Maidah: 48*
*Pemansuhan Ajaran Kitab-kitab Terdahulu Dan Kewajipan Mengamalkan al-Quran*
وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنْ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنْ الْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ.
48.Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
Tadabbur Ayat
فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنْ الْحَقّ
Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu),
Menurut Ibnu Asyur ayat ini boleh difahami dengan tiga maksud:
- Allah menyuruh agar nabi saw menjatuhkan hukuman kepada ahli kitab berdasarkan hukum al-Quran.
- Menjatuhkan hukum berdasarkan wahyu Allah kepada Baginda saw mengikut keadaan dan kes yang berlaku.
- Menjatuhkan hukuman berdasarkan kitab Taurat selagi mana ia tidak dimansuhkan oleh Allah dalam syariat baru.
Ketiga-tiga maksud diatas tidak bertentangan antara satu sama lain, sebaliknya menunjukkan keluasan maksud al-Quran yang membawa pelbagai makna yang benar dan tidak bercanggah.
وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنْ الْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا
dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).
Amat jelas disini Allah mahukan supaya nabi saw mengikut kebenaran dan itulah prinsip yang perlu diamalkan dimana sahaja manusia berada. Ayat ini juga menjelaskan bahawa setiap umat itu Allah jadikan untuk mereka jalan syariah. Kesatuan ajaran nabi-nabi ialah pada dasar-dasar akidah, akhlak dan amalan ibadah. Adapun perkara cabang maka ia berbeza mengikut kesesuaian yang ada pada setiap zaman berdasarkan situasi semasa dan keadaan manusia ketika itu.
وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ
Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu.
Jika allah mahu allah boleh sahaja menjadikan manusia berada dalam satu ajaran di sepanjang zaman tetapi kehendak Allah telah menentukan bahawa adanya perbezaan antara ajaran nabi-nabi.
Perbezaan juga berlaku terhadap penerimaan dakwah nabi-nabi dimana ada yang menerima dan ada pula sebahagian manusia menolak ajakan dan dakwah itu. Kesemua itu adalah ujian Allah kepada manusia dalam kehidupan di dunia ini. Secara terperincinya manusia tidak mengetahui apakah yang menyebabkan keadaan itu berlaku. Akan tetapi dapat difahami secara kasar tentang sebab musabab yang berlaku dan membawa kepada keimanan dan kekufuran seseorang manusia.
فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
Sebesar-besar kebaikan ialah beriman kepada Allah dan mengikhaskan tauhid kepadaNya, mensyucikan Allah dari segala syirik dan sifat-sifat yang lemah. Setelah itu kebaikan ialah dengan melakukan ketundukan kepada segala kehendak Allah samada dalam bentuk beribadah kepadanya atau dalam hubungan manusia sesama sendiri.
Dengan itu masyarakat muslim sebenar ialah masyarakat yang sentiasa menghidupkan unsur perlumbaan dalam melakukan kebaikan dan menjadi yang terbaik. Dan situasi itu bukannya lahir dari keinginan yang bersifat nafsu dan keduniaan, sebaliknya demi mendapat keredaan Allah di akhirat nanti.
Adalah amat mudah untuk mengupas perkara ini dari sudut teori begitu sahaja, tetapi apa yang menjadi cabaran kepada umat Islam masakini ialah apakah aktiviti atau gerak kerja yang boleh dijadikan sebagai panduan dalam menggerakkan roh perlumbaan dalam mengejar kebaikan dan keredaan Allah. Adalah menjadi tanggungjawab para cendikiawan Islam untuk memperincikan perkara ini sehingga perlumbaan dalam mengerjakan kebaikan itu dapat menjadi amalan masyarakat secara praktikal dan memberi kesan yang menyeluruh kepada masyarakat. Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus yang diredai oleh Mu. Amin
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
www.drrosli.com
16 Jumadil Akhir 1444
9 Januari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu