TADABBUR WAHYU SIRI 851
Surah al-Maidah: 46
Maqasid Perutusan Nabi Isa Dan Penurunan Kitab Injil
وَقَفَّيْنَا عَلَى آثَارِهِمْ بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنْ التَّوْرَاةِ وَآتَيْنَاهُ الإِنجِيلَ فِيهِ هُدًى وَنُورٌ وَمُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنْ التَّوْرَاةِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةً لِلْمُتَّقِينَ.
46.Dan Kami utuskan Nabi Isa bin Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
Tadabbur Ayat
Ayat ini adalah rentetan daripada ayat sebelum ini yang menerangkan bahawa Allah telah menurunkan Kitab Taurat. Maka Nabi Isa adalah nabi yang dihantar oleh Allah sebagaimana Dia menghantar Nabi Musa.
Dalam erti kata yang lain jika kamu menerima Nabi M,usa maka kamu juga semestinya menerima Nabi Isa kerana keduanya adalah utusan Allah untuk kamu.
Isa bin Maryam disebut dengan nama ibu, demi menjelaskan hakikat Nabi Isa yang menjadi titik kekeliruan Bani Israel selepas kedatangan Baginda. Nabi Isa adalah manusia biasa seperti manusia lain. Dia dilahirkan oleh seorang ibu sepertimana orang lain dilahirkan. Cuma, Baginda tidak memiliki bapa.
Ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa Allah telah memberikan kepada Nabi Isa Kitab Injil. Kitab Taurat dan Injil adalah Kitab Allah. Oleh itu mengapa pula kaum Yahudi tidak dapat menerimanya. Bukankan ketundukan kepada allah menjadikan seseorang itu menerima apa sahaja yang diturunkan olehNya?
Setelah ayat ini menyebut Kitab Injil, seperti kebiasaan al-Quran, akan dijelaskan secara lebih terperinci sifat-sifat sesuatu yang telah disebut itu. Menurut Imam Fakhruddin al-Razi, dalam ayat ini, sifat-sifat Injil telah diperincikan seperti berikut:
- Mengandungi petunjuk hidayah
yang dimaksudkan dengan hidayah disini ialah maklumat mengenai keesaan allah,menyucikan allah dari segala kesyirikan, mengandugi perkhabaran ghaib dan hari akhirat dan lain-lain
- Cahaya yang menerangi:
mengandungi pengajaran berkaitan hukum-hakam dalam ibadah dan hubungan sesama manusia yang menerangi kehidupan di dunia.
- Membenarkan kitab Taurat:
ajaran Nabi Isa dan Kitab Injil adalah kesinambungan daripada kerasulan dan Utusan Allah di atas muka bumi ini.
- Menjadi petunjuk :
diulang sifat petunjuk disini bagi menegaskan peranan injil yang memberi hidayah kepada manusia khususnya menjelaskan kedatangan nabi akhir zaman dan rasul terakhir nabi Muhammad saw.
- Nasihat pengajaran bagi orang-orang yang bertaqwa:
Disifatkan dengan mauizah atau nasihat kerana kitab injil mengajak kepada ketaqwaan, memberi kepada kebaikan dan mengandungi amaran terhadap kemaksiatan. Dalam masa yang sama dijelaskan bahawa nasihat itu akan memberi manfaat kepada orang yang bertaqwa. Adapun orang yang tidak bertaqwa akan meninggalkannya atau menentangnya.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Allah telah menghantar Nabi Isa dan menurunkan kepada Baginda Kitab Injil demi memandu manusia kearah jalan yang lurus. Baginda adalah kesinambungan dari perutusan Rasul-rasul sebelumnya. Ajaran Baginda pula bukanlah perkara baru dan pelik sehingga perlu dijauhi atau ditentang. Dengan itu, orang yang beriman menerima seluruh perutusan Rasul dan Kitab yang dibawa oleh mereka, kerana tunduk dan patuh kepada Allah yang memiliki alam semesta.
*Ustaz Dr Rosli Mokhtar*
13 Jumadil Akhir 1444
6 Januari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu