*TADABBUR WAHYU SIRI 850* *Surah al-Maidah: 45* Penjagaan Nyawa Sebahgian Daripada Maqasid Syariah - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


*TADABBUR WAHYU SIRI 850* *Surah al-Maidah: 45* Penjagaan Nyawa Sebahgian Daripada Maqasid Syariah

*TADABBUR WAHYU SIRI 850*

*Surah al-Maidah: 45*

Penjagaan Nyawa Sebahgian Daripada Maqasid Syariah

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالأَنفَ بِالأَنفِ وَالأُذُنَ بِالأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ فَمَنْ تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الظَّالِمُونَ.

45.Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Tadabbur Ayat

Walaupun ayat ini tidak terlalu panjang, namun Imam al-Qurtubi telah membahagikan perbincangan dalam ayat ini kepada 30 perkara. Hal ini berlaku kerana tidak banyak nas yang melibatkan hukum qisas.

Ayat ini memperincikan apa yang telah Allah syariatkan kepada Bani Israel dalam kitab mereka. Menurut Imam al-Razi, persoalan hukum qisas ini dibincangkan disini berikutan tindakan Bani Israel yang suka lari dari hukum Allah.

Menurut al-Razi lagi, ayat ini menerangkan bahawa hukuman yang adil dan saksama telah diturunkan oleh Allah dalam kitab Taurat.  Hukuman ini tidak membezakan sesama manusia sebaliknya disyariatkan kehilangan nyawa siapa sahaja akan dibalas dengan nyawa juga tidak kira siapa mereka itu.

Apa yang menarik, Bani Israel sebenarnya telah lari dari prinsip ini, mereka telah melebihkan satu kabilah berbanding kabilah yang lain.

Di Madinah, kaum Yahudi telah memuliakan Bani Nadhir berbanding Bani Quraizah. Oleh hukuman juga sentiasa menyebelahi Bani Nadhir. Orang Bani Nadhir yang membunuh  mangsa dari Bani Quraizah tidak dihukum bunuh, sedangkan orang Bani Quraizah yang membunuh Bani Nadhir akan dihukum bunuh.

Diskriminasi seperti ini telah menjadi lumrah dalam masyarakat Yahudi di Madinah lalu al-Quran menegur mereka menggunakan ajaran kitab mereka sendiri.

Jenayah dan Hukuman Qisas

Dari sudut Bahasa Qisas bermaksud balas balik. Istilah ini digunakan bagi menunjukkan kepada jenayah dan hukuman terhadap jenayah itu. Qisas dengan itu merupakan jenayah dan hukuman terhadap kesalahan melibatkan nyawa dan anggota badan. Ada juga ulama yang mengkategorikan jenayah dan hukuman membunuh sebagai hudud dan mencederakan anggota sebagai qisas.

Ayat ini juga mnceritakan perihal orang yang memaafkan kesalahan penjenayah. Keadaan ini mengingatkan pembaca bahawa kesalahan qisas samada pada nyawa atau pada anggota, tidak sama dengan jenayah mencuri.

Kesalahan dalam kategori qisas boleh dimaafkan oleh pihak mangsa walaupun kes ini telah dibawa kemuka pengadilan. Dalam ayat ini, orang yang memaafkan pesalah telah dianggap sebagai orang yang telah besedekah. Dalam erti kata yang lain, dia diberikan ganjaran oleh Allah.

Maqasid Dan Hikmah Pensyariatan

Maqasid dan hikmah dari pensyariatan hukuman qisas ini sangat jelas iaitu bertujuan menjaga keharmonian masyarakat. Hukuman yang dijalankan bersifat setara dan tidak membezakan antara lapisan masyarakat juga membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan.

Pemerhatian dan Cadangan

Amat menghairankan apabila ada dikalangan umat Islam yang meremehkan persoalan penjagaan nyawa sehingga mereka memperkecilkan kepatuhan terhadap undang-undang jalan raya, atau peraturan berkaitan keselamatan dan mengelakkan kemalangan ditempat kerja atau dimana sahaja. Dalam masa yang sama mereka bersemangat untuk menjalankan hukuman qisas. Hal ini menunjukkan kejahilan terhadap kefahaman agama kerana apabila Islam menjurus kearah penjagaan nyawa, maka penjagaan itu perlu dititik beratkan dalam aspek mana sekali pun tanpa ada pengecualian dan pengabian.

Penutup

Kesimpulannya, nyawa manusia adalah sangat berharga disisi Allah. Dengan itu Allah mensyariatkan hukum-hakam yang boleh membawa kepada penjagaan terhadap nyawa manusia. Justeru, umat Islam perlu meningkatkan tahap keselamatan ditempat kerja, di jalan raya dan  dimana sahaja. Ini semua bagi menjamin maqasid syariah yang berupa penjagaan terhadap nyawa dapat dicapai.

*Ustaz Dr Rosli Mokhtar*

www.drrosli.com

12 Jumadil Akhir 1444

5 Januari 2023

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:

TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

 

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 1
  • 6
  • 11,798
  • 0