*TADABBUR WAHYU SIRI 847*
*Surah al-Maidah: 43*
*Maqasid Penurunan Kitab Untuk Memandu Manusia Kejalan Yang Benar*
إِنَّا أَنزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ وَكَانُوا عَلَيْهِ شُهَدَاءَ فَلاَ تَخْشَوْا النَّاسَ وَاخْشَوْنِي وَلاَ تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلاً وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْكَافِرُونَ.
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
Tadabbur Ayat:
Perbincangan ayat diatas boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:
- Perbincangan Pertama:
Ayat ini dimulakan dengan pengakuan dari Allah bahawa Dialah yang menurunkan kitab Taurat. Seperti biasa apabila dijelaskan sesuatu fakta, maka al-Quran akan memperincikan fakta itu. Oleh itu ayat ini menjelaskan bahawa kitab taurat yang diturunkan oleh Allah itu mengandungi petunjuk dan cahaya.
Cahaya disini adalah perumpamaan kepada ajaran kitab Taurat. Menunjukkan jalan kehidupan sepertimana cahaya di dunia diperlukan oleh manusia untuk manusia melalui sesebuah jalan.
Selain itu, ayat ini menerangkan peranan kitab Taurat yang menjadi rujukan nabi-nabi dan orang yang beriman dalam menghukumkan sesuatu kebenaran. Mereka yang menjadi pengikut nabi-nabi itu disebut sebagi orang-orang beriman dari kalangan orang-orang yang mendapat hidayah, rabbaniyyin dan ahbar. Mereka adalah orang-orang yang telah beriman dan menjaga kitab taurat dan ajarannya daripada diselewengkan. Mereka disifatkan sebagai syuhada’ iaitu sebagai saksi terhadap kitab itu dan ajarannya.
- Perbincangan Kedua:
Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia);
Dalam rangkap ini Allah menyeru manusia agar jangan takut kepada sesama manusia, sebaliknya perlu takut hanya kepada Allah. Yang dimaksudkan dengan rangkap ini ialah janganlah takut kepada manusia dalam menjelaskan hakikat kebenaran dan mengamalkan agama yang diturunkan oleh Allah, sebaliknya takutlah kepada Allah tuhan sekelian alam.
Sudah tentu larangan ini ialah bagi menerangkan prinsip seorang mukmin. Adapun dari sudut perlaksanaan terhadap sesuatu, maka diam dalam beberapa kesalahan demi memberikan laluan kepada perkara yang lebih penting untuk dilaksanakan adalah dibenarkan.
Contohnya ayat al-Quran tidak diturunkan bagi mengharamkan arak kecuali setelah adanya orang-orang beriman yang faham dengan asas-asas keimanan dan tauhid. Hukum hakam terperinci dalam muamalat tidak diturunkan keculi setelah umat Islam diajar dasar-dasar agama dan akhlak serta telah wujud kepimpinan yang baik dan berwibawa.
Bersambung…
*Ustaz Dr Rosli Mokhtar*
8 Jumadil Akhir 1444
1 Januari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu