TADABBUR WAHYU SIRI 846 Surah al-Maidah: 42 Kewajipan Menegakkan Keadilan dan Kesaksamaan - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


TADABBUR WAHYU SIRI 846 Surah al-Maidah: 42 Kewajipan Menegakkan Keadilan dan Kesaksamaan

TADABBUR WAHYU SIRI 846
Surah al-Maidah: 42

Kewajipan Menegakkan Keadilan dan Kesaksamaan

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ.

42.Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Tadabbur Ayat:

Ayat ini menyebut dua sifat buruk yang menjadi amalan mereka yang dibenci oleh Allah.

Sifat pertama ialah sifat suka mendengar berita-berita dusta. Ramai orang yang memahami bahawa melakukan pendustaan adalah sifat buruk.

Namun demikian, tidak ramai yang menyedari bahawa tabiat suka mendengar hasil pendustaan orang lain dan mempercayai berita-berita yang tidak benar juga adalah satu kesalahan.

Ini kerana seorang yang mendengar perkara yang dusta maksudnya mereka mempercayai berita-berita itu. Sedangkan ia mengandungi perkara yang salah.

Perkara yang dusta mungkin berkenaan dengan kepercayaan dalam agama, atau mungkin mengenai fitnah kepada orang lain. Jika ianya dipercayai dan disebarkan kepada orang lain pula maka ia melibatkan kesalahan dan penyebaran kepada kesalahan. Justeru ia adalah keburukan yang besar dan berganda.

Al-Hasan mengatakan: Yang dimaksudkan dengan mendengar penipuan disini ialah mendengar maklumat salah dalam penghakiman. Begitu juga kaum Yahudi memakan rasuah. Dengan itu, mereka membuat keputusan penghakiman mengikut kepentingan orang yang memberi rasuah.

Menurut Rasyed Redha, ia juga bermaksud mereka banyak mendengar daripada nabi saw untuk membohongi Baginda, seterusnya mengubah ajaran dan agama agar menjadi rosak. Mereka menjadi mata-mata kepada kumpulan mereka keatas nabi saw dan orang beriman.

Sifat negatif kedua dalam ayat ini ialah memakan rasuah. Al-Quran menyifatkan mereka dengan perkataan “akkaluna” ia membawa makna orang yang banyak memakan dan dimaksudkan dengan al-suht ialah rasuah.

Perkataan al-suht asalnya bermaksud membuang sesuatu dari akar umbinya. Dan akhirnya dinisbahkan kepada perbuatan rasuah.

Dua sifat ini membuatkan pengadilan berjalan secara tidak saksama.

Mempercayai berita bohong dan memakan rasuah. Kerana itu Allah menyifatkan ia adalah amalan orang-orang Yahudi yang selalu melakukan kerosakan dan kezaliman.

Imam al-Qurtubi sewaktu mantafsirkan ayat ini meriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah beliau berkata: apaibla seorang hakim mengambil rasuah, maka mestilah di lucutkan jawatannya, jika tidak, hukuman yang diputuskan olehnya selepas itu tidak sah. Begitulah beratnya jenayah rasuah pada pandangan ulama.

Rangkap kedua dalam ayat ini bermaksud:
maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Ayat ini diturunkan apabila ada dikalangan orang Yahudi yang datang menemui nabi saw agar Baginda menjatuhkan hukuman dalam perselisihan yang dialami sesama kaum Yahudi. Ada riwayat berkenaan perempuan Yahudi yang dituduh berzina dan ada pula mereka menemui nabi saw dalam menyelesaikan kes pembunuhan yang dilakukan oleh orang Yahudi keatas lelaki Yahudi sendiri.

Dalam rangkap ini, Allah menyuruh nabi saw agar berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah walaupun terhadap kaum Yahudi.

Rangkap ini juga mengarahkan nabi agar berpaling dari mereka.

Dengan pemberitahuan ini para ulama membincangkan isu orang bukan Islam yang datang menemui hakim apakah dihukumkan mengikut agama mereka atau mengikut syariat nabi Muhammad saw.
Perbicangan seperti ini kelihatan telah tidak sesuai dikupas pada masa ini memandangkan hukuman dan penghakiman pada zaman ini telah diselaraskan dalam perkara sivil.

Sementara hukum-hakam dalam hal ehwal keagamaan telah dikhususkan kepada orang Islam dengan mahkamah syariah sementara persoalan keagamaan orang bukan islam tertakluk kepada amalan agama mereka.

Keadaan di zaman nabi saw sangat berbeza. Di sebabkan setiap kabilah hidup dalam entiti yang berbeza dan terasing dengan masyarakat lain, maka setiap kabilah mengamalkan pengadilan secara berasingan.
Apa yang jelas ialah ayat ini mengajak orang beriman agar menghukum dengan adil walaupn yang dihukumkan ialah orang bukan Islam. Begitulah perinsip keadilan dalam Islam sehingga ia tidak membezakan antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Ustaz Dr Rosli Mokhtar
www.drrosli.com

8 Jumadil Akhir 1444
1 Januari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 1
  • 6
  • 11,798
  • 0