TADABBUR WAHYU SIRI 843 Surah al-Maidah: 40. Kekuasaan Mutlak Milik Allah - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


TADABBUR WAHYU SIRI 843 Surah al-Maidah: 40. Kekuasaan Mutlak Milik Allah

TADABBUR WAHYU SIRI 843

Surah al-Maidah: 40

Kekuasaan Mutlak Milik Allah

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ يُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

40.Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Menjadi kebiasaan al-Quran menutup sesuatu perbincangan dengan menyebut asas-asas pegangan dan nilai-nilai teras agama yang berhubung dengan isu yang dibincangkan.

Perbincangan sebelum ini membincangkan tentang jenayah hirabah dan jenayah mencuri, serta hukuman terhadap kedua-dua jenayah itu.

Justeru, ayat ini dimulakan dengan menyebut kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.

Jika manusia yang melakukan jenayah merasakan mereka telah berkuasa terhadap mangsa yang dizalimi maka kuasa Allah tidak dapat ditandingi dengan kuasa makhluk yang sedikit itu.

Ayat ini juga menyebut bahawa Allah mengazab sesiapa yang Dia kehendaki dan mengampunkan sesiapa yang dia kehendaki.

Sifat mengazab didahulukan dalam ayat ini memandangkan ia didatangkan selepas perbincangan berkaitan jenayah hirabah dan jenayah mencuri.

Dengan itu sifat mengazab didahulukan bagi membayangkan ia adalah reaksi kepada jenayah itu.

Mesej yang mahu disampaikan ialah Allah mengazab orang yang melakukan jenayah itu.

Ayat ini juga mengingatkan kepada pembaca bahawa hukuman yang dijatuhkan mestilah bersifat adil dengan tidak membezakan antara golongan dan kedudukan dalam masyarakat.

Tidak ada siapa yang boleh terlepas dari hukuman dan keadilan kerana hukuman adalah milik Allah dan bukannya milik manusia.

Mengikut Syeikh Rasyed Redha, ayat ini juga menolak dakwaan orang-orang Yahudi yang mengatakan mereka akan terlepas dari azab Allah kerana mereka orang kesayangan Allah dan dikasihi olehNya.

Ayat ini juga menerangkan kekuasaan Allah yang mutlak terhadap seluruh alam. Pertama Dia menguasai langit dan bumi iaitu segala isi alam semesta ini berada dibawah kekuasaan dan gengaman Allah.

Kedua kuasa itu mengampunkan dan mengazab berada ditanganNya jua.

Kedua-dua hal diatas menggambarkan kekuasaan lahir dan batin, dunia dan akhirat. Kekuasaan yang tidak ada batasannya.

Kesimpulannya kekuasaan Allah membuatkan semua makhluk tertakluk kepada kehandakNya dan mereka tidak dapat mengatasi Allah sedikit pun. Sehubungan dengan itu kuasa mutlak dalam memaafkan dan menghukum adalah milik Allah. Jika Allah mahu mengampunkan seseorang maka Dia akan memudahkan untuknya bertaubat dan meninggalkan kejahatan. Dan orang yang enggan bertaubat maka mereka akan menerima hukuman yang pedih dari Allah.

Ustaz Dr Rosli Mokhtar

4 Jumadil Akhir 1444
28 Disember 2022
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  • 0
  • 4
  • 13,747
  • 0