TADABBUR WAHYU SIRI 833
Surah al-Maidah: 27
Permusuhan Dan Kebencian Sebagai Satu Cabaran
وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنْ الآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنْ الْمُتَّقِينَ.
27. Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
Menurut Imam al-Qurtubi, hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya ialah ayat ini memberikan satu contoh lagi terhadap cabaran yang dihadapi oleh para nabi. Cabaran itu ialah orang yang benci dan memusuhi mereka.
Dalam ayat sebelum ini al-Quran memberikan contoh Bani Israel zaman dahulu yang telah bertindak membunuh nabi-nabi yang diutuskan oleh Allah kepada mereka. sementara ayat ini pula menceritakan bagaimana anak Adam sendiri telah berbunuhan.
Namun demikian, para ahli tafsir berselisih pandangan siapakah yang dimaksudkan dengan anak Adam itu. Hasan al Basri berpandangan yang dimaksudkan ialah dua orang lelaki dari kalangan Bani Israel.
Pandangan ini ditolak oleh Ibnu Atiyyah al-Andalusi kerana bagi beliau, jika yang dimaksudkan itu dari kalangan Bani Israel, sudah tentu tidak dinyatakan dalam cerita ini kekeliruan si pembunuh untuk menanam mangsanya. Dengan itu, jumhur ulama berpandangan yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah anak nabi adam yang dipanggil Qabil dan Habil.
Pembunuhan ini berlaku hasil dari rasa tidak puas hati Qabil terhadap Habil. Ini kerana korban yang diberikan oleh Habil diterima oleh Allah sementara korban yang diberikan oleh Qabil ditolak oleh Allah. Hasil dari rasa tidak puas hati ini maka Qabil telah membunuh Habil.
Jika dilihat dari sudut situasi, maka keadaan ini sangat hampir sama dengan yang dihadapi oleh nabi saw. Ini kerana Bani Israel menentang nabi saw hasil disebabkan mereka tidak puas hati kerana Allah telah memilih nabi akhir zaman bukan dari kalangan Bani Israel.
Perasaan cemburu dan iri hati ini telah membuatkan mereka sanggup berbuat apa sahaja demi menolak kedatangan nabi saw.
Menurut Imam al-Razi, ayat ini mahu menyedarkan bahawa tindakan Bani Israel yang memusuhi nabi saw bukan disebabkan kecintaan mereka terhadap agama dan peninggalan nabi mereka. Sebaliknya permusuhan yang ditonjolkan terhadap utusan Allah itu hanyalah disebabkan oleh perasaan hasad dengki mereka yang mahu menjadi pihak yang dimuliakan sedangkan mereka tidak layak untuk itu.
Terdapat beberapa riwayat yang diambil dari cerita Israiliyaat mempereincikan kejadian korban ini, namun cerita-cerita itu tidak dapat dipastikan kesahihannya. Apa yang dinyatakan dengan jelas oleh al-Quran ialah prisip asas dalam amalan iaitu taqwa. Kali ini prinsip asas ini dinyatakan melalui kata-kata Habil kepada saudaranya Qabil :Sesungguhnya Allah menerima amalan daripada orang yang bertaqwa. Inilah prinsip amalan yang mesti didasari disepanjang zaman.
Kesimpulannya, Allah menceritakan bahawa bagaimana cabaran dan halangan yang dihadapi oleh nabi saw termasuklah dari kalangan orang yang dengki dengan kedudukan yang Allah berikan kepada Baginda. Namun demikina mereka yang dengki itu seringkali terkeliru dengan tindakan mereka. ini kerana disangkanya permusuhan itu disebabkan oleh kecintaan mereka terhadap ajaran agama dan peninggalan nabi-nabi terdahulu. Sebenarnya tindakan itu hanyalah terhasil dari rasa tidak puas hati, cemburu dan kedengkian. Semoga ia tidak berlaku kepada kita semua.
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
20 Jumadil Awwal 1444
15 Disember 2022
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu