TADABBUR WAHYU SIRI 810: Larangan Mengambil Mudah Terhadap Syariat Allah - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


TADABBUR WAHYU SIRI 810: Larangan Mengambil Mudah Terhadap Syariat Allah

TADABBUR WAHYU SIRI 810 : Surah al-Maidah: 2

Larangan Mengambil Mudah Terhadap Syariat Allah

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُحِلُّوا۟ شَعَـٰٓئِرَ ٱللَّهِ وَلَا ٱلشَّهْرَ ٱلْحَرَامَ وَلَا ٱلْهَدْىَ وَلَا ٱلْقَلَـٰٓئِدَ وَلَآ ءَآمِّينَ ٱلْبَيْتَ ٱلْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًۭا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَٰنًۭا ۚ وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَٱصْطَادُوا۟ ۚ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا۟ ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ.

2.Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Seperti yang pernah disebut sebelum ini, setiap ayat yang dimulakan dengan “ya ayyuhallazina amanu..bermaksud wahai orang beriman maka ayat itu diturunkan di Madinah.

Ayat yang diturunkan di Madinah dinamakan dengan ayat madaniyah.

Ayat ini mengandungi beberapa suruhan dan larangan berhubung hukum-hakam syariah.

Pertama: Larangan daripada membelakangi syiar Allah. Maksud khusus bagi siar Allah dalam ayat ini ialah ibadah haji dan saie antara safa dan marwah sementara maksud umum ialah batas-batas halal dan haram dalam seluruh ajaran Islam.

Kedua: Larangan membelakangi kemuliaan bulan haram.

Yang dimaksudkan dengan bulan haram ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Pada bulan ini, dilarang berperang dan digalakkan agar diperbanyakkan ibadah.

Ketiga: Suruhan memberi hadiah kepada Baitullah dengan mengorbankan binatang semasa mengerjakan ibadat haji. Dalam masa yang sama dimaksudkan dengan menghidupkan syiar Allah dalam keadaan ini ialah dengan mengorbankan binatang yang sihat dan baik.

Keempat: Suruhan menghormati dan memuliakan orang yang mahu mengerjakan ibadat haji.

Mereka disifatkan oleh ayat ini sebagai orang yang mencari kelebihan dari tuhan mereka.

Kelima: Suruhan untuk berburu apabila telah melakukan tahallul iaitu selesai melakukan ibadat haji.

Suruhan dalam ayat ini bersifat harus dan bukannya wajib berburu pada setiap kali selesai mengerjakan haji.

Keenam: Larangan melakukan kezaliman dan pencerobohan.

Di awal Islam, orang-orang mushrikin dibenarkan mengerjakan ibadat haji bersama dengan orang beriman.

Ini kerana ibadat haji telah wujud sebelum kedatangan nabi Muhammad saw lagi.

Ia dilakukan pada waktu itu dengan cara jahiliah oleh kaum mushrikin.

Setelah Rasulullah saw menguasai Mekah, kaum muslimin dilarang daripada berlaku zalim terhadap mereka walaupun sebelum ini mereka bertindak zalim terhadap orang-orang beriman.

Ketujuh: Suruhan bekerjasama dalam melakukan kebaikan dan larangan daripada bekerjasama dalam melakukan dosa dan maksiat.

Suruhan dan larangan ini diberikan secara umum.

Kelapan: Suruhan agar kaum muslimin bertaqwa kepada Allah.

Pada kali ini gesaan bertaqwa diikuti dengan amaran bahawa azab Allah adalah sangat pedih.

Sudah tentu amaran ini diberikan kepada mereka yang enggan mematuhi suruhan dan larang yang telah dinyatkan di atas.

Ustaz Dr Rosli Mokhtar

4 Rabiul Akhir 1444
30 Oktober 2022
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  • 0
  • 7
  • 13,907
  • 0