*TADABBUR WAHYU SIRI 490*
*3.2.1 Tadabbur Surah ‘Ali Imran Ayat 1-2*
الم
Alif Lam Min
Menurut Ibnu Asyur, mengambil penurunan ayat ini adalah disebabkan kedatangan rombongan Nasrani yang mahu berdebat dengan nabi saw, maka ayat ini juga dimulakan dengan “huruf muqattah” iaitu alif, lam, mim.
Maksud tersirat daripada huruf-huruf ini ialah mencabar kaum Nasrani dan kaum mushrikin Mekah agar mereka mencipta kitab yang dapat mencabar al-Quran. Ini kerana kedua-dua pihak itu menolak daripada beriman kepada risalah yang dibawa oleh nabi saw dengan alasan kitab al-Quran adalah rekaan dari nabi Muhammad saw sahaja dan ianya bukan dari Allah.
Dengan itu, sekali lagi al-Quran mengisyaratkan kepada cabaran tersebut. Dalam keadaan ini al-Quran menunjukkan semangat yang sangat profesional kerana ia mencabar agar disaingi oleh musuh, hal ini bagi membuktikan dakwaan mereka itu benar.
Mereka yang dicabar pula adalah orang-orang yang benar-benar berkeahlian untuk menyahut cabaran tersebut. Orang-orang Mekah dan orang Nasrani Najran adalah orang-orang Arab yang menguasai bahasa mereka dengan baik.
Bahkan orang-orang Mekah adalah mereka yang paling menguasai bahasa Arab. Dengan semangat inilah juga al-Quran tidak mencabar orang-orang Yahudi di Madinah untuk membawakan kitab suci yang menandingi al-Quran. Ini kerana mereka telah diketahui umum sebagai orang yang yang tidak menguasai dengan baik bahasa Arab.
Jika cabaran ditujukan kepada mereka yang lemah dan tidak berkeahlian, sudah tentu ianya akan menjatuhkan kedudukan al-Quran sendiri.
اللَّهُ لا إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
2. Allah tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbir sekalian makhlukNya.
Nama tuhan (ismu al-jalalah) Allah disebut diawal ayat kemudian diterangkan sifat Allah iaitu yang hidup dan yang berdiri dengan sendiri selama-lamanya.
Namun demikian ditengah-tangah sifat ini dibawa satu ayat tambahan menerangkan tentang Allah iaitu “tidak ada tuhan melainkan dia. Teknik ini dipanggil “jumlah mu’taridah” iaitu satu ayat penerangan diletakkan sebagai sisipan bagi menerangkan perkara yang disebut sebelumnya.
Dalam penulisan moden, ayat “tidak ada tuhan melainkan Dia” diletakkan di dalam kurungan menjadikan ayat seperti berikut.
“Allah (tiada Tuhan melainkan Dia) Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.
Dua sifat Allah yang penting disebutkan disini kerana sifat hidup adalah asas kepada adanya sifat-sifat yang lain. Walaubagaimanapun hidupnya Allah tidak sama seperti hidupnya manusia. Manusia hidup memerlukan pernafasan, makanan, darah, anggota dan sebagainya. Sementara sifat hidup Allah adalah begi menerangkan ianya berlawanan dengan sifat mati. Kerana mati itu dihubungkan dengan lemah, beku dan segala sifat yang menunjukkan kepada hilangnya kekuasaan dan ilmu.
Sifat kedua pula al-Qayyum iaitu maha berdiri dengan sendiri dan maha berkuasa serta tidak memerlukan kepada sesiapa.
Kedua-dua sifat ini adalah sifat penting yang perlu dihayati terutamanya bagi menolak kesyirikan kepada Allah.
Khamis
27 Jamadilawal 1441
23 Januari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟