TADABBUR WAHYU SIRI 489 *3.1.3 Tadabbur Surah 'Ali Imran * - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


TADABBUR WAHYU SIRI 489 *3.1.3 Tadabbur Surah ‘Ali Imran *

TADABBUR WAHYU SIRI 489

*3.1.3 Tadabbur Surah ‘Ali Imran *

Penurunan surah ‘Ali Imran dikaitkan dengan rombongan yang terdiri daripada beberapa orang yang datang dari Najran, mereka adalah orang-orang Arab yang beragama Nasrani.

Mereka datang ke Madinah apabila mendengar bangkitnya nabi akhir zaman di sana. Kedatangan mereka adalah untuk memastikan kebenaran berita tersebut, oleh itu rombongan ini terdiri daripada mereka yang mahir dalam agama Nasrani.

Penduduk Najran adalah orang-orang Arab yang patuh dengan agama Nasrani. Buktinya, mereka telah mendirikan sebuah kaabah untuk mereka disana, hal ini telah disebut oleh penyair Arab bernama al-A’sy’a dalam syair beliau.

Rombongan yang terdiri daripada 60 orang kenamaan Najran itu diketuai oleh lelaki bernama Abdul Masih. Mereka bertemu Rasulullah saw dan berdebat dengan Baginda berkaitan isu-isu ketuhanan dan kenabian.

Mereka berbincang berkaitan ketuhanan nabi Isa as. Apabila keadaan tidak menyebelahi mereka, rombongan ini masih mahu menegakkan benang yang basah dengan memberikan berbagai alasan dan takwilan.

Langkah terakhir yang dillihat oleh nabi saw sebagai perlu ialah mengajak mereka untuk melakukan sumpah yang dipanggil mubahalah. Sumpah ini berbentuk orang yang bersumpah mengaku mereka berkata benar dan dia serta keluarga akan dilaknat Allah jika dakwaan itu hanya tipu mislihat.

Mereka pada mulanya menunjukkan tindakan mubahalah adalah jalan terbaik dan mereka bersetuju melakukannya. Namun demikian, apabila mereka melihat nabi saw bersungguh-sungguh untuk melakukan sumpah laknat itu, pihak yang berbohong dan keluarganya dilaknat oleh Allah, mereka merasa takut ditimpa musibah kerana mereka tahu perkara sebanr.

Rombongan daripada Najran ini akhirnya sepakat untuk menarik diri daripada melakukan sumpah. Sebaliknya mereka berbincang bagaimanakah cara terbaik bagi menutup sikap mereka yang tidak berani bermubahalah itu.

Akhirnya mereka sepakat untuk menukar pendirian mereka daripada menunjukkan penentangan terhadap akidah yang dibawa oleh nabi saw kepada mereka menunjukkan minat dan bersedia untuk mendengar penerangan lanjut. Dengan muslihat tersebut tertutuplah keadaan mereka yang tidak berani bersumpah.

Dengan alasan tersebut mereka kembali ke Najran dan mereka meminta nabi saw menghantar wakil Baginda untuk mengajarkan kepada mereka tentang Islam di Najran.

Sehubungan dengan sikap mereka ini Allah telah menurunkan sekitar 80 ayat dalam surah ‘Ali Imran, mengikut Ibnu Hisyam dalam kitab sirah beliau.

Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan tarikh turunnya ayat ini. Sebahagian mengatakan ia diturunkan pada tahun kesembilan hijrah. Namun demikian Ibnu Asyur tidak setuju dengan pandangan tersebut, beliau berpandangan surah ini mula turun pada tahun kelapan hijrah lagi.

Rabu
26 Jamadilawal 1441
22 Januari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 1
  • 10
  • 11,806
  • 0