TADABBUR WAHYU SIRI 488 Tadabbur Surah 'Ali Imran * - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


TADABBUR WAHYU SIRI 488 Tadabbur Surah ‘Ali Imran *

TADABBUR WAHYU SIRI 488

*3.1.2 Tadabbur Surah ‘Ali Imran *

Surah ‘Ali Imran secara umumnya dimulai dengan perhatian yang diberikan kepada kedudukan al-Quran, nabi Muhammad saw, pembahagian jenis ayat al-Quran , tahap kefahaman terhadap al-Quran.

Surah ini kemudiannya memberi tumpuan kepada menerangkan kedudukan agama Islam yang tidak ada mana-mana agama lain yang dapat menandinginya. Satu-satunya agama yang diterima disisi Allah adalah Islam.

Selepas itu ayat-ayat dalam surah ini mula menerangkan tentang hubungan dengan kitab Taurat dan Injil, menerima keduanya sebagai kitab yang diturunkan sebelum al-Quran. Dengan itu tiada siapa yang berhak untuk kufur dengan kitab-kitab Allah.

Seterusnya surah ‘Ali Imran menerangkan kesesatan mereka yang mengambil tuhan selain Allah, dengan melakukan syirik kepada Allah, menjadikan untuk Allah anak.

Surah ini memberi amaran kepada mereka tentang kedudukan orang-orang yang kufur berada dibawah ancaman Allah, namun demikian surah ini memuji nabi Isa dan mengagungkannya kerana Baginda adalah utusan Allah yang mulia. Baginda tidak syirik dan tidak merelai perbuatan kaum Nasrani.

Surah ‘Ali Imran juga memuji keluarga nabi Isa bermula daripada datuk Baginda bernama Imran. Selepas itu disebut mukjizat nabi Isa, nabi isa adalah makhluk Allah, pengikut nabi Isa yang dipanggil Hawariyyun juga disebut dan dipuji secara tidak langsung.

Surah ‘Ali Imran kemudiannya menafikan sifat ketuhanan yang dinisbahkan kepada nabi Isa, selepas itu menceritakan tentang kedatangan segerombolan kaum Nasrani dari Najran menemui nabi saw dan membincangkan intipati perbincangan mereka.

Surah ‘Ali Imran kemudiannya menjawab dakwaan daripada kaum Nasrani dan Yahudi bahawa mereka berada di atas jalan kebenaran. Sedangkan Allah telah mengambil perjanjian daripada nabi-nabi mereka sebelum ini agar mereka beriman dengan nabi terakhir.

Surah ini kemudiannya menceritakan tentang kedudukan kaabah yang merupakan rumah Allah yang pertama didirikan untuk manusia beribadat kepadaNya, kedudukan kaabah yang menjadi asas ajaran pertama yang dibawa oleh nabi Ibrahim dikembalikan pada zaman nabi Muhammad saw, mengerjakan haji menjadi kewajipan kepada umat akhir zaman.

Seterusnya ayat-ayat surah ‘Ali Imran menerangkan kesesatan yang dialami oleh kaum yahudi dan pembohongan yang telah dilakukan oleh mereka serta tindakan mereka menyembunyikan kebenaran yang dibawa oleh nabi Muhammad saw.

Surah ini seterusnya menerangkan nikmat Allah kepada kaum muslimin yang berupa penurunan agama yang benar, selepas itu surah ini menyuruh kaum muslimin bersatu hati dan mengingatkan keadaan mereka yang lemah semasa zaman jahiliah.

Selain itu, surah ini kemudiannya menerangkan juga tipudaya kaum Yahudi dan memberi peringatan kepada kaum muslimin tentang perkara tersebut. Umat Islam disuruh agar menguatkan jatidiri, sabar dengan dugaan dengan terus berjuang dan berusaha demi mendepani cabaran musuh dengan usaha yang gigih.

Dengan sifat-sifat yang demikian umat Islam akan mencapai kejayaan. Selepas itu surah ini memaparkan kisah umat Islam dalam peperangan Uhud dan peperangan Badar.

Melalui kedua-dua peristiwa ini diberikan pengajaran yang sepatutnya diambil oleh umat Islam. Allah memuji perngorbanan mereka yang telah berjuang dan mereka yang telah terkorban dalam kedua-dua peperangan tersebut.

Dengan itu, Allah mengajak umat Islam agar melakukan amal baik iaitu dengan melakukan infaq daripada harta mereka demi memperkasakan agama dan umat Islam, Allah mengajak amat Islam agar sentiasa menjadi orang yang kedepan dalam melakukan kebaikan, meninggalkan sifat keji seperti bakhil dan menzaimi orang lain.

Surah ini diakhiri dengan al-Quran mengajak kaum muslimin agar berfikir tentang kejadian alam semesta dan mengamati penciptaan alam sejagat ini.

Pengenalan Surah ‘Ali Imran

Selasa
25 Jamadilawal 1441
21 Januari 2020
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau sila klik link di bawah:
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
https://t.me/tadabbur_wahyu
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Atau dari Carian Telegram, taip perkataan Tadabbur atau Wahyu, pilih Tadabbur Wahyu untuk sertai channel Tadabbur Wahyu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  • 0
  • 4
  • 13,747
  • 0