Surah al-Fatihah
1.0 Pengenalan Surah
Surah al-Fatihah adalah surah yang mempunyai banyak nama. Imam al-Sayuti menyebut lebih 20 nama bagi surah al-Fatihah.
Namun begitu, nama surah ini yang disebut di dalam hadis sahih hanya seperti berikut: al-Fatihah al-Kitab, al-Sabu’ al-Mathani, Ummu al-Quran, Ummu al-Kitab.
Surah al-Fatihah adalah surah Makiyyah iaitu surah yang diturunkan di Mekah sebelum Baginda SAW berhijrah ke Madinah.
Surah al-Fatihah juga diturunkan sebelum difardukan solat lima waktu lagi.
Dengan maklumat ini dapat dibuat kesimpulan bahawa surah al-Fatihah adalah surah yang turun di awal dakwah nabi Muhammad SAW.
Berkaitan dengan bilangan ayat pula, jumhur ulama berpandangan bahawa bilangan ayat bagi surah al-Fatihah adalah 7 ayat kesemuanya.
Ini kerana mereka menganggap Bismillah adalah sebahagian daripada ayat dalam surah al-Fatihah.
Namun demikian, terdapat pula sebahagian ulama yang tidak bersetuju dengan pandangan ini.
Mereka melihat bahawa Bismilah yang ada di awal surah bukannya ayat tetapi hanya pembuka surah sahaja.
Perdebatan antara dua pandangan ini telah melalui tempoh masa yang panjang dan tidak berkesudahan.
Apa yang penting, perlu diingatkan bahawa isu ini bukanlah melibatkan perkara pokok dalam agama.
Oleh itu polemik ini sebaiknya hanya perlu berlaku sebagai aktiviti akademik yang tidak membawa perpecahan di kalangan masyarakat Islam.
2.0 Nama & Maqasid Surah al-Fatihah
Mengikut Ibnu Asyur surah ini dinamakan dengan surah al-Fatihah kerana:
- al-Fatihah bermaksud pembuka ia juga bermaksud permulaan, dinamakan dengan Ummu bermaksud ibu.
Ia merujuk kepada kedudukannya yang memulai al-Quran.
- Dinamakan al-Fatihah atau Ummu al-Kitab juga kerana surah ini mengandungi keseluruhan maqasid atau objektif utama al-Quran.
Maqasid tersebut terdiri daripada tiga perkara:
- pujian terhadap Allah. Hal ini berlaku dengan menyifatkan Allah dengan segala sifat kepujian serta membersihkanNya dari segala sifat kekurangan. Ia disampaikan melalui lafaz ‘Alhmdulillah’.
- suruhan dan larangan Allah. Ia dinyatakan melalui lafaz ‘iyyaka na’budu bermaksud hanya engkau yang kami sembah.
iii. Memberitahu adanya balasan dan ganjaran baik serta amaran azab terhadap pelaku kejahatan.
Maqasid ini diberitahu melalui ungkapan ‘siratallazina anamta alaihim ghairil maghdubi alaihim wala dhalin’.
…. jalan orang-orang yg mendapat nikmat dan bukan jalan orang-orang yang dimurkai…
3.0 Hadis berkaitan dengan surah al-Fatihah
Hadis Qudsi riwayat Muslim merakamkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda bahawa Allah telah berfirman: “Aku telah membahagikan al-Fatihah kepada dua bahagian, separuhnya untuk-Ku dan separuh lagi untuk hamba-Ku dan untuk hamba-Ku apa sahaja yang dipohonkan kepada-Ku,” apabila hamba-Ku berkata: (alhamdulillahirabbil’alamin) Allah menjawab: “Hamba-Ku telah memuji-Ku” apabila hamba itu berkata: (arrahmanirrahim) Allah menjawab: Hamba-Ku telah memberi sanjungan kepada-Ku:” apabila hamba itu berkata: (malikiyaumiddin) Allah menjawab: “Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku dan apabila hamba itu berkata: (iyakana’buduwaiya kanasta’in) Allah menjawab: “Ini di antara hamba-Ku dengan Aku dan untuk hamba-Ku apa sahaja yang dipohonkan kepada-Ku,” apabila hamba itu berkata: (ihdinassira tal mustaqim siratallazi naan ‘am ta ‘alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladdha lin) Allah menjawab: “Ini untuk hamba-Ku dan untuk hamba-Ku apa sahaja yang dipohonkan kepada-Ku.” (Riwayat Muslim)
4.0 Rahsia Kedudukan Surah al-Fatihah
Ibnu Asyur cuba menjelaskan rahsia kedudukan surah al-Fatihah yang berada di awal al-Quran.
Menurut beliau surah al-Fatihah adalah muqaddimah dan abstrak bagi al-Quran.
Kedudukan surah ini pula terletak di awal al-Quran secara tauqifi iaitu ditentukan oleh Allah.
Dalam ertikata lain kedudukan surah al-Fatihah di awal al-Quran bukanya ijtihad dari nabi atau para sahabat.
Sebaliknya kedudukannya itu telah ditentukan oleh wahyu Allah.
Intipati surah al-Fatihah mengandungi keseluruhan maqasid Al-Quran secara ringkas.
Dapat dirumuskan 3 hikmah penting yang tersirat di sebalik sifat surah al-Fatihah yang pendek dan kedudukannya yang terletak di awal al-Quran.
Rahsia yang tersirat itu adalah:
- Al-Fatihah merupakan surah yang berbentuk pendahuluan pendek dan padat bagi mengelakkan berlakunya rasa jemu.
Jika al-Quran dimulakan dengan surah yang panjang secara langsung, sudah tentu keadaan itu akan memberikan kesan negatif terhadap psikologi pembaca yang tidak disediakan dengan satu muqadimah yang ringan terlebih dahulu.
Keadaan ini sebenrnya boleh menjadi satu pengajaran kepada para penulis untuk tidak terus memulakan sebarang tulisan secara langsung, sebaliknya didahului dengan pendahuluan yang ringan.
- Surah al-Fatihah menyebut perkara-perkara penting yang mahu disampaikan di dalam al-Quran.
Dengan pemberitahuan ini para pembaca dapat bersedia untuk mengetahui lebih lanjut perbincangan di dalam surah-surah yang akan datang.
- Surah al-Fatihah merupakan mukadimah bagi al-Quran yang didatangkan dalam bentuk jawamie al kalim iaitu kata-kata pendek tetapi mempunyai maksud yang luas dan mendalam.
5.0 Penerangan Ayat
الحمد لله
Maksudnya: Segala puji bagi Allah
Dimulakan dengan lafaz syukur dan pujian seorang hamba terhadap tuhannya iaitu lafaz Alhamdulillah. Keadaan ini sebenarnya merupakan suatu pendidikan bagi seorang insan agar menghargai apa yang diperolehi dari penciptanya.
Sementara itu sebaik-baik nikmat serta pemberian yang diperolehi oleh seorang manusia dari Tuhan mereka ialah nikmat hidayah dan petunjuk ke arah jalan kebenaran.
Pengiktirafan seorang hamba terhadap nikmat dan kebaikan yang dikecapi dari tuhan, akan menjadikan dia lebih bersedia untuk membuang segala halangan dan sifat negatif yang terdapat di dalam sanubari.
Halangan dan sifat negatif tersebut mungkin dalam bentuk kebencian terhadap kebenaran, kebakhilan, kecelaruan pemikiran dan sebagainya.
Penerimaan seorang insan serta pengiktirafan terhadap nikmat dan kebaikan yang diperolehi akan menjadikan jiwanya bersedia untuk menerima apa sahaja tunjuk ajar, panduan dan segala suruhan serta larangan yang bakal dinyatakan di dalam al-Quran.
Dengan itu setiap muslim digalakkan untuk memulakan ucapan dengan kalimah syukur serta pujian kepada Allah terlebih dahulu bagi mengikut resam al-Quran.
Surah al-Fatihah melatih seorang muslim agar sentiasa bersedia untuk menerima kebenaran serta tunjuk ajar. Jiwa seorang mu’min dipupuk untuk melalui pembersihan dan pemurnian yang berterusan.
Surah al-Fatihah mengandung 6 asas penting bagi pembersihan jiwa:
- meninggalkan segala bentuk syirik melalui kata-kata ‘hanya engkau yang kami sembah’
- meleburkan seluruh rasa ego dan rasa takabur melalui ucapan ‘hanya Engkaulah yang kami minta pertolongan’.
- menumbuhkan rasa keinginan untuk mendapat bimbingan serta petunjuk dengan mengucapkan ‘tunjukkanlah kami jalan yang lurus’.
- Berusaha untuk menjadi suri tauladan yang mulia dengan berkata ‘jalan orang-orang yang telah engkau berikan kepada mereka nikmat’.
- keinginan untuk terselamat dari kesesatan dengan mengucapkan ‘bukan orang-orang yang engkau murkai’.
- Keinginan untuk terselamat daripada sebarang kekeliruan dalam pemikiran dan terselamat dari terpesong dari kebenaran dengan berkata ‘dan bukan orang-orang yang sesat’.
Lafaz Alhamdulillah adalah satu cara bermunajat kepada Tuhan. Cara munajat yang sebenar ini tidak dapat diketahui oleh manusia jika tidak melalui bantuan wahyu Allah.
Dengan itu surah al-Fatihah telah memandu manusia untuk melakukan munajat dengan cara yang sebenar dan terbaik.
Selain itu, memulakan percakapan dengan pujian adalah resam masyarakat Arab semenjak sebelum kedatangan Islam.
al-Quran menjadikannya sebagai satu tauladan baik yang akhirnya diikuti oleh umat Islam seluruhnya.
Rasulullah SAW juga telah bersabda:
Setiap perkara yang baik tidak dimulakan dengan Alhamdulillah maka ia terputus.
(Abu Daud & al-Baihaqi)
Mengikut Ibnu Asyur, yang dimaksudkan dengan ‘terputus’ dalam hadis di atas ialah terputus daripada keberkatan.
Alhamdulillah adalah pujian terhadap sesuatu yang baik dan mulia sama ada ia berbentuk perbuatan atau sifat.
Contoh bagi perbuatan mulia seperti membantu orang yang lemah, memberi dan menghargai. Sementara contoh bagi sifat mulia pula ialah seperti berani, menjaga maruah sifat tegas dan sebagainya.
Terdapat beberapa perkataan lain dalam bahasa arab yang membawa makna yang hampir sama dengan lafaz “al-hamdu”
Perkataan- perkataan tersebut ialah al-thana’, ‘al-madhu’, tamjid dan ‘al-syukru’ dan beberapa perkataan lagi.
Akan tetapi perkataan ‘al-hamdu’ dipilih kerana maknanya yang lebih luas dan mendalam.
Dengan itu menggunakan perkataan “al-hamdu” menjadikan mesej kesyukuran yang mahu ditujukan kepada Allah itu lebih luas dan mendalam maknanya.
Dengan mengucapkan lafaz Alhamdulillah maka seorang hamba telah memuji Allah di atas segala pemberian nikmat terhadap dirinya dan sekelian makhluk.
Dalam masa yang sama dia telah memuji Allah di atas segala sifat-sifatnya yang mulia.
Maka lafaz yang pendek ini telah mengumpulkan antara pujian terhadap perbuatannya dan pujian terhadap sifat Allah yang Maha Agong.
رب العلمين
Maksudnya: Tuhan yang menguasai sekelian alam.
Perkataan ‘rab’ merupakan sifat bagi tuhan bermaksud yang mengatur dan menjalankan, apabila sifat ini dinisbahkan kepada ‘alamin’ bermaksud tuhan yang mengatur dan menjalankan seluruh alam.
الرحمن الرحيم
Maksudnya: Yang Maha Pengasih Yang Maha Penyanyang.
al-Rahman adalah berasal dari perkataan rahmat, perkataan rahman merujuk kepada sifat yang membawa kepada pelakunya untuk melakukan sesuatu yang membawa kepada terhasilnya rahmat.
Perkataan rahim juga berasal dari pekataan rahmat. jika dilihat secara kasar, kedua-dua sifat ini tidak ada perbezaan. Keadaan ini menjadikan para ulama cuba untuk mengenal pasti mengapa kedua-dua sifat ini disebut secara bergandingan.
Pada dasarnya seluruh ulama sependapat mengatakan bahawa kedua-dua perkataan ini mengandungi maksud mubalaghah atau perkataan yang menunjukkan kepada sifat melampau iaitu maha pengasih dan maha penyayang
ملك يوم الدين
Maksudnya: Yang menguasai hari pembalasan.
Tiga sifat Allah rab, rahman, rahim telah disebut sebelum didatangkan ayat ini yang menerangkan kekuasaan Allah terhadap semua makhluk.
Keadaan ini adalah bagi menjelaskan bahawa Allah merupakan Tuhan yang menguasai seluruh makhluk Nya, namun demikian penguasaan Allah itu disertai dengan rahmat serta kasih sayang.
Kasih sayang Allah itu wujud disebalik penurunan agamaNya yang penuh dengan kemaslahatan terhadap manusia.
Pada ghalibnya agama Allah bertujuan mengeluarkan manusia dari kongkongan hawa nafsu yang sentiasa mendorong ke arah kesengsaraan.
Dengan pemberitahuan terhadap sifat-sifat tersebut akan membuatkan seseorang manusia merasa ingin mencapai kerahmatan tuhannya kerana Dialah sahaja yang memiliki pembalasan.
Disebutkan di sini bahawa Allah memiliki hari kiamat, ini bagi membentuk keinginan yang kuat untuk mentaati perintahnya.
Seorang manusia sering termotivasi bila mengetahui bahawa dia bakal mendapat ganjaran di atas perbuatannya.
Disebutkan juga di sini sifat Allah dengan ‘malik’ iaitu raja atau yang memiliki bagi mengisyaratkan kepada sifat adil dalam pembalasan.
Ini kerana raja dan pemilik disayangi atas sebab keadilannya terhadap orang yang dipimpinnya.
اياك نعبد واياك نستعين
Maksudnya: Hanya engkau yang kami sembah dan hanya engkau yang kami minta pertolongan.
Setelah menyatakan keagungan Tuhan maka seorang hamba akan menyatakan kesediaannya untuk memperhambakan diri diatas keagunganNya itu.
Sebesar-besar pengiktirafan terhadap Tuhan ialah dengan seseorang itu mengikhlaskan ibadat hanya kepadaNya.
Maksud mengikhlaskan ibadat di sini ialah dengan meletakkan sifat-sifat ketuhanan itu hanya kepada Allah semata-mata.
Bagi mengukuhkan kenyataan ini, perkataan iyyaka(hanya engkau) diletakkan didepan berbanding na’budu(kami sembah).
Kalau ayat biasa yang tidak ada penegasan ‘na’budu iyyaka’ (kami menyembah mu)
Menjadi satu trend yang diterima umum untuk memulakan percakapan dengan memberikan kata-kata pujian terhadap sifat yang mulia.
Al-Quran juga menggunakan kaedah yang sama. Dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah SWT.
Kemudian barulah menyatakan ketundukan dan kesediaan untuk menyerahkan diri kepadaNya.
Ketika itu terasa ketundukan kepada Allah benar-benar berbaloi kerana hanya Dia yang berhak menerima perhambaan dari manusia.
إياك نعبد وإياك نستعين
Maksudnya: Hanya engkau yang kami sembah dan hanya engkau yang kami minta pertolongan.
Kesediaan untuk beribadah dan tunduk kepada tuhan datang daripada dua faktor.
Pertama kerana faktor cinta yang mendalam terhadap kemuliaan dan kebaikan tuhan.
Faktor kedua pula ialah kerana rasa takut kepada kekuasaanNya.
Kedua-dua sifat itu adalah mulia ketika berdepan dengan tuhan yang menguasai sekelian alam.
Ia adalah baik kerana merendah kepada yang benar-benar berhak untuk diagungkan.
Namun demikian, ketundukan dan ibadah yang terhasil dari rasa cinta itulah yang lebih di tinggi sisi Allah.
Hal ini dapat difahami melalui firman Allah:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ
Maksudnya:
Katakanlah wahai Muhammad; jika kamu cintakan Allah maka ikutlah aku. Allah akan mencintai kamu dan Dia akan mengampuni dosa kamu.
(Surah ‘Ali Imran:31)
Setelah memuji Tuhan dengan sifat-sifat kemuliaan dan setelah menyatakan pengabdian hanya kepadaNya.
Maka berpindah pula seorang hamba kepada meminta dari tuhannya yang maha berkuasa.
Permintaan yang merangkumi kebaikan di dunia dan di akhirat adalah permintaan untuk berada di dalam hidayah Allah.
Hamba yang meminta dari tuhannya untuk berada pada jalan yang benar, harapan itu diisyaratkan dengan kata-kata ‘berikan kami jalan yang lurus.
اهدنا الصراط المستقيم
Dengan pengakuan ini, seorang mukmin menyedari bahawa dia hendaklah berada pada jalan yang lurus.
Dia juga mesti berusaha untuk mendapat jalan yang lurus, ini kerana doa adalah harapan dan usaha adalah bukti pengabdian.
Dia mesti berada pada jalan kebenaran kerana hanya dengan itu dia berhak untuk mendapat hidayah dari Allah.
“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”.
Ayat di atas adalah terjemahan kepada ayat
إهدنا الصراط المستقيم
Maksud perkataan ‘ihdina’ ialah hidayah kan kami.
Mengikut Ibnu Asyur doa ini diajarkan oleh Allah kepada orang-orang yang telah beriman dan mendapat hidayah.
Tujuan pertama bagi mengajak mereka yang belum mendapat hidayah untuk berbuat demikian.
Tujuan kedua ialah untuk menunjukkan betapa perlunya kekal berada dalam hidayah Allah.
Permintaan ini juga merujuk kepada keinginan seorang hamba untuk ditingkatkan peringkat petunjuk yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Ini kerana hidayah itu mempunyai tingkat dan darjatnya.
Sebagai maklumat tambahan, elok juga untuk kita ketahui bahawa jumhur ulama membaca dengan huruf sad pada ‘sirat’.
الصراط
Sementara Ibnu Kathir membaca dengan ‘sin’ bukan dengan sad.
السراط
صراط الذين انعمت عليهم
Maksudnya:
Jalan orang-orang yang telah engkau berikan kepada mereka nikmat.
Jalan yang lurus yang berupa hidayah serta nikmat yang dipohon dari Tuhan bukanlah sesuatu yang asing atau terpisah dari siri nikmat dan hidayah Allah.
Nikmat yang sama telah diberikan kepada orang-orang yang terdahulu.
Bahkan seorang mukmin yang berada pada jalan Hidayah adalah rangkaian daripada perjuangan dan jalan umat terdahulu.
Mereka adalah kesatuan dalam pengabdian dan ketaatan terhadap tuhan.
غير المغضوب عليهم ولا الضالين
Maksudnya: Bukan jalan orang yang dimurkai
dan bukan jalan orang-orang yang sesat
Jalan orang-orang yang dimurkai dan jalan orang-orang yang sesat kelihatan dua perkataan yang membawa maksud yang sama.
Ini kerana orang yang sesat juga dimurkai oleh Allah. Namun demikian para ulama tafsir cuba mencari maksud yang tersirat dari ayat ini
Ini kerana mereka meyakini bahawa al-Quran tidak menyebut sesuatu ibarat secara bersahaja.
Sebaliknya lafaz-lafaz dalam Al-Quran sentiasa mementingkan makna tersirat yang mendalam pengertiannya.
Ibnu Asyur menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan orang-orang yang dimurkai iaitu orang-orang yang mempermainkan agama dan meremehkan ajaran tuhannya.
Mereka adalah orang yang menolak ajaran Allah dalam keadaan mereka memahami dan mengetahui kebenaran itu.
Sementara yang dimaksudkan dengan orang-orang yang sesat pula ialah orang-orang yang terpesong ajaran agamanya tetapi menyangka mereka berada pada jalan yang benar.
Ayat ini mengingatkan kita agar sentiasa berwaspada daripada dua penyelewengan.
Pertama kedegilan dan kedua kejahilan.
6.0 Pendidikan Surah al-Fatihah
Al-fatihah dengan kemuliaannya telah dipilih oleh Allah untuk menjadi surah yang paling hampir dengan kehidupan seorang muslim.
Yang demikian itu berlaku melalui pensyariatan solat yang mana al-fatihah menjadi surah yang mesti dibaca di setiap rakaat.
Surah Al-Fatihah juga diberi nama Assab’u Almathani. Iaitu tujuh ayat yang sentiasa diulangi.
Amat bertepatan sekali surah yang mengandungi kesimpulan ajaran Islam itu dibaca berkali-kali dalam masa sehari.
Menariknya, walaupun mengulangi paling kurang 17 kali sehari, tetapi sifat surah yang ringkas dan padat itu tidak membawa apa-apa masalah dalam kehidupan seorang muslim.
Bahkan apa yang didapati adalah kelebihan dan fadhilat yang besar hasil daripada pemberian Allah.
Bagaimanakah surah pendek in boleh memberi kesan yang besar dalam kehidupan seorang manusia??
Sebenarnya bukanlah terlalu sukar untuk memahami bagaimana al-fatihah mampu menjadi surah yang membawa kepada kebahagiaan.
Bahkan Al-Fatihah adalah surah yang mampu membentuk keperibadian seorang manusia.
Hal ini berlaku apabila seorang yang membaca surah al-fatihah telah mengiktiraf segala nikmat Allah yang telah diberikan kepadanya !!!
Dalam masa yang sama dia juga telah nmengiktiraf keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t.
Jiwa yang telah tunduk di hadapan keagungan Tuhan itu sudah tentu tidak mampu lagi untuk mendabik dada dan merasakan dirinya pemilik sebenar kepada kelebihan dan nikmat yang didapatinya di dunia ini.
Harta, kepandaian, kekuasaan dan pengaruh serta seluruh unsur keduniaan yang lain dirasakan terlalu kecil di depan kekuasaan Allah dan kebesaranNya !!!
Bacaan surah al-fatihah yang menyelami maksud ini sudah tentu akan membentuk seorang manusia yang bertanggungjawab, merendah diri, berusaha menghargai segala peluang yang diberikan kepadanya dan merahmati setiap yang berada di sekelilingnya.
Ini kerana surah al-Fatihah mengajar kita untuk bukan sahaja mengakui pemberian Allah kepada kita, bahkan dalam masa yang sama turut menyebut sifat Allah yang penting dalam membentuk keperibadian manusia. Tuhan Yang Menguasai Sekelian Alam !!
Ibnu Asyur menyatakan bahawa al-Fatihah membentuk seorang manusia yang bertanggungjawab, merendah diri, berusaha menghargai segala peluang yang diberikan kepadanya dan merahmati setiap yang berada di sekelilingnya.
Perlu diingat juga, bila dikatakan surah Al-Fatihah membentuk maknanya kitalah yang mesti berusaha mencapai apa yang menjadi objektif surah itu.
Ini bukan bermakna kita hanya perlu mengulangi pembacaan sebanyak mungkin tanpa perlu belajar intipati sebenar. Bukan bermakna sifat mulia akan terbentuk tanpa usaha dari manusia.
Tuhan Yang Menguasai Sekelian Alam tetapi dalam masa yang sama merupakan Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Kombinasi dua sifat ini sangat penting bagi menunjukkan sifat pengasih Allah yang tersendiri dan terarah.
Sifat pengasih dan penyayang itu bukannya lahir dari kelemahan tetapi sebaliknya datang dari kemuliaan tuhan yang Maha Esa.
Sifat pengasih yang ada unsur ketegasan dan perinsip. Kasih yang tidak membawa kepada kelemahan.
Kita telah melihat bagaimana Allah merahmati seluruh manusia di dunia dan hanya akan mengasihi orang-orang beriman di akhirat nanti.
Sifat kasih Allah itu tidak membawa kelemahan terhadap melaksanakan keadilan dan membalas terhadap kekufuran.
KekuasaanNya pula bukan sahaja meliputi seluruh alam di dunia tetapi dialah yang memiliki hari pembalasan.
Keadaan ini menjadikan Dia berada pada kedudukan teratas dalam kekuasaan.
Ketika itu, sifat kasih dan sayang Allah tiada bandingannya kerana ia dijelmakan dari kedudukan kekuasaan yang mutlak.
Lihatlah dalam kehidupan, cabaran terhadap manusia ialah mencontohi sifat mulia ini.
Bagaimana mahu menjadi orang yang merahmati, ketika kita berada pada posisi mulia dan kuat.
Al-Fatihah mengajak manusia untuk merasakan bahawa objektif terbesar yang perlu dicapai oleh seorang manusia ketika berada di atas muka bumi ialah untuk terus berada di dalam hidayah Allah.
Adalah mustahil bagi seorang yang meminta dari tuhannya untuk mendapat hidayah tetapi dalam masa yang sama tidak berbuat apa-apa untuk mendapatkannya.
Bayangkan jika seorang yang meminta rezeki dari Tuhan tetapi tidak pernah bekerja untuk mendapatkan rezeki itu. Dia hanya berdoa tetapi amat malas untuk berusaha.
Bayangkan seorang yang sakit dan berdoa untuk sembuh tetapi tidak pernah berusaha untuk berubat.
Bolehkah fenomena ini diterima oleh seorang yang waras akalnya?
Jawapannya sudah tentu tidak. Manusia disuruh berusaha untuk mendapatkan kehendak dan keperluannya.
Akan tetapi dari sudut praktikal, ramai sekali orang yang memohon hidayah dan jalan yang lurus tetapi tidak pernah berusaha untuk mengenali jalan yang lurus itu.
Mereka malas berfikir, malas belajar dan tidak memperuntukkan masa untuk ilmu pengetahuan.
Fenomena ini amat berleluasa sehingga hanya sedikit umat Islam hari ini yang berusaha untuk memahami kitab Allah yang terkandung di dalamnya hidayah dan petunjuk Allah. Sedangkan mereka sentiasa meminta diberikan Hidayah.
Dengan itu, doa untuk mendapat hidayah bukan saja menunjukkan pentingnya hidayah, tetapi juga menunjukkan kepada pentingnya usaha dan kesungguhan.
Seterusnya pendidikan surah al-Fatihah mengingatkan kepada manusia bahawa bencana dan kerugian yang paling dahsyat ialah apabila manusia berada di atas landasan yang salah.
Orang yang dimurkai ialah orang-orang yang mengabaikan tanggungjawab, lalai terhadap tuntutan dan tugas.
Orang yang sesat ialah orang yang telah bersedia untuk mengabdikan diri kepada tuhan tetapi mengalami kesalahan dalam melaksanakan pengabdian.
Mereka tersilap dalam memilih jalan pengabdian kepada Tuhan lalu mereka termasuk di kalangan orang-orang yang sesat.
Pembahagian mereka yang tidak mendapat hidayah Allah dalam dua kategori ini adalah sangat penting.
Ini kerana ia memberi isyarat kepada seluruh manusia agar berusaha dengan serius dalam memaham agama Allah.
Ini kerana bukan sahaja manusia yang jahat akhlaknya dinafikan daripada mendapat hidayah Allah.
Sebaliknya di sana ada juga orang yang mahu untuk taat tetapi mereka telah tersesat dan tidak menemui jalan yang lurus.
Mereka menyangka mereka berada dalam kebenaran dan melihat orang lain sesat. Sedangkan merekalah yang sebenarnya sesat.
Pendidikan al-fatihah sudah tentu bukan hanya setakat mahu menakut-nakutkan manusia dengan dua situasi tersebut.
Lebih jauh dari itu, maqasid atau objektif surah Al-Fatihah ialah agar setiap insan berusaha dalam mencari kebenaran dengan segala peluang dan ruang yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Menggunakan masa, harta, pemikiran serta tenaga untuk berada dalam hidayah Allah.