*TADABBUR WAHYU SIRI 886*
*Surah al-Maidah: 87*
Larangan Menambah Dan Mengubah Tuntutan Agama
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلاَ تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
- Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
Ayat ini merupakan permulaan menyampaikan pelajaran kepada orang beriman berkenaan hukum Syariah serta melengkapkan pujian terhadap ahli ibadah dari kalangan Nasrani dan ulamak mereka.
Larangan dalam ayat ini merupakan peringatan kepada ulama agar tidak menjatuhkan hukuman haram kepada perkara yang tidak mempunyai dalil yang mencapai tahap pengharaman.
Adapun larangan daripada menceroboh Wa la ta’tadu bermaksud dan jangan kamu menceroboh.
Bermaksud janganlah kamu bertindak mengharamkan sesuatu yang tidak diharamkan oleh Allah kerana ia adalah satu pencerobohan. Begitu juga dengan tindakan menghalalkan perkara yang haram juga merupakan pencorobohan terhadap hak-hak manusia.
Selain itu larangan menceroboh dalam ayat disatas juga merangkumi larangan terhadap menceroboh orang-orang yang lemah dan tidak berkemampuan.
Salah satu daripada ciri-ciri ahli ibadah Nasrani ialah mereka berlebihan dalam melakukan ibadah dan meninggalkan kehidupan keduniaan. Mereka menjalani kehidupan dengan tidak berkahwin, meninggalkan memakan daging, tidak meminyakkan rambut, tidak memakai pakaian yang cantik dan sebagainya.
Mengikut Ibnu Asyur, Allah memberi amaran kepada orang beriman dan mengingatkan bahawa pujian terhadap orang-orang Nasrani dalam ayat sebelum ini tidak bermakna penyelewengan yang dilakukan oleh mereka itu dapat diterima.
Keadaan ini berbetulan pula dengan sikap atau pendirian sebahagian sahabat yang condong ke arah zuhud. Ada di kalangan mereka yang berkata, aku melakukan qiamullail dan aku tidak tidur. Salah seorang dari kalangan mereka berkata “aku tidak berkahwin”.
Kesemua itu di lakukan bagi memberi fokus kepada melakukan ibadah, sedangkan apabila kata-kata mereka diketahui oleh Nabi, Baginda saw menjawab: Tapi aku melakukan qiamullail dan aku tidur, aku berpuasa dan berbuka, dan aku berkahwin, sesiapa yang menjauhkan diri dari sunnahku maka dia bukan dari kalanganku. Riwayat Bukhari dan Muslim.
Rasulullah saw juga bersabda Sesungguhnya binasa orang-orang sebelum daripada kamu kerana memayah-mayahkan agama, mereka telah memberatkan diri mereka lalu Allah memberatkan ke atas mereka.
Hadis lain pula Nabi saw bersabda kepada Abdullah bin Amru bin al-As: Aku telah diberitahu bahawa engkau melakukan qiamullail dan berpuasa pada siang hari. Jawab Amru bin al-As ; Ya aku melakukannya. Sabda Nabi saw: Jika engkau melakukan sedemikian rupa maka engkau telah menyakiti matamu dan telah memberatkan dirimu. Sesungguhnya untuk dirimu terhadap kamu ada hak dan untuk keluarga kamu ke atas dirimu ada hak oleh itu berpuasalah dan berbukalah, lakukanlah qiamullail dan tidurlah.
Larangan itu tadi ditujukan kepada mereka yang meninggalkan perkara keduniaan ada secara berterusan. Namun demikian jika meninggalkannya dalam masa tertentu tanpa terikat dengan masa tertentu dan bertujuan untuk mendidik jiwa agar sabar dalam kesusahan merupakan pendidikan terhadap sejiwa maka ia dibenarkan. Begitu juga tindakan menjauhkan diri dari sesuatu kemewahan bagi tujuan untuk melakukan perkara lain yang lebih penting dan bermanfaat adalah sifat zuhud sebenar dan dibenarkan dalam Islam.
Rasulullah saw sendiri tidak menolak untuk mengambil nikmat dunia dan Baginda dalam masa yang sama menunaikan hak bersyukur. Nabi saw pernah mengunjungi Abu Dahdah dan Baginda saw diberikan makanan dan minuman yang baik.
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
drrosli.com
tadabburwahyu.com
26 Rejab 1444
17 Februari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (Am Bank 8881052306539) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu