
Setiap anak adam melakukan kesalahan كل ابن آدم خطاء Dari sudut teorinya ramai umat Islam mengakui hakikat diatas, tetapi realiti yang berlaku di dalam masyarakat sangat berbeza. Sebaik sahaja adanya seorang individu yang menyerlah dalam sesuatu bidang dalam masyarakat maka dengan segera sekumpulam manusia akan menjulangnya sebagai hero yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Reaksi ini berlaku terhadap penyokong seorang pemimpin, pemikir atau tidak kurang juga terhadap seorang ulamak. Bahkan dewasa ini tidak musthil juga berlaku kepada pengikut yang taksub kepada artis dan ahli sukan.
Untuk mengubat penyakit taksub ini, perlu sekali pengikut yang diserang penyakit jiwa yang kronik ini disedarkan bahawa:
- Mereka perlu membezakan antara kritikan dan serangan liar dengan kritikan dan teguran positif yang perlu diberikan sokongan dan penghargaan
- Menegur, memperbetul dan bahkan mengkritik ulamak, tokoh politik dan pemikir bukanlah satu kesalahan sebaliknya merupakan keperluan dalam sebuah masyarakat yang memartabatkan budaya ilmu.
- Wacana pemikiran dan garapan minda bukan bermaksud menyelongkar kehidupan individu seseorang tokoh tapi dilakukan dalam skop hak masyarakat yang berkongsi kehidupan luaran mereka.
- Memberikan imuniti kepada seseorang untuk terkecuali daripada sebarang persoalan, tanggungjawab dan kritikan akan membawa kepada unsur pemujaan terhadap individu. Alangkah banyaknya kata-kata daripada para ulamak Islam yang menunjukkan mereka beriman dengan kebebasan wacana dan keluasan syura Islam.
Kata Imam Malik:
Pandanganku yang bertepatan dengan al Quran dan sunnah maka ambillah, dan yang bertentangan dengan keduanya maka abaikanlah. Kata-kata yang mengandungi roh yang sama diucapkan oleh Imam Syafie dengan kata beliau: Pandanganku betul tetapi berkemungkinan salah, dan pandangan orang lain adalah salah tetapi berkemungkinan benar. Kedua-dua tokoh ini mahu menjelaskan bahawa tidak ada seorang pun yang mewakili kebenaran secara mutlak kecuali Rasulullah s.a.w.
Pandangan anda dihargai