Raja, Menteri dan Anjing - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


Raja, Menteri dan Anjing


Kononnya tersebutlah kisah di sebuah negara yang pemimpinnya seorang raja yang zalim. Raja ini sudahlah memerintah dalam masa yang lama, perangainya pula sangat kejam . Dia akan menghukum para menteri dan rakyat jelata dengan hukuman yang dahsyat.

Salah satu hukuman yang beliau kenakan kepada orang yang dituduh ialah dengan mengurung orang itu bersama anjing-anjing yang sedang lapar. Maka habislah tubuh mereka disiat-siat oleh anjing yang sedang kelaparan. Hukuman seperti ini bukan sahaja menjadi hukuman mati, tetapi merupakan penyeksaan yang sangat dahsyat.

Pada suatu hari Raja yang zalim ini tidak berpuas hati dengan seorang menterinya. Dia memanggil menteri tersebut dan mula menuduh beliau dengan kata-kata kesat dan bengis. Menteri ini sangat benar dia mengakui kesilapannya tetapi memohon maaf.

Tuanku, saya telah sepuluh tahun berkhidmat untuk Tuanku dengan penuh ikhlas dan taat. Kali ini saya tersalah, maafkanlah saya. Dengan murka Raja itu tidak menghiraukan rayuan tersebut dan terus menjatuhkan hukuman supaya menteri itu dikurung bersama anjing-anjing yang sedang lapar.

Setelah yakin tidak mendapat pengampunan, menteri itu merayu pula, “Tuanku, disebabkan patik telah berkhidmat kepada Tuanku selama 10 tahun, maka berilah peluang untuk patik hidup sepuluh hari lagi, selepas itu jatuhkanlah hukuman kepada patik”.

Kata-kata itu nampaknya menarik perhatian Raja zalim itu lalu baginda bertitah supaya hukuman ditangguhkan dan menteri dilepaskan selama 10 hari bersama kawalan.

Setelah genap sepuluh hari maka menteri itu datang semula kepada raja dan berkata “Tuanku nampaknya hari hukuman yang dijanjikan telah tiba dan hukumlah patik”.

Rajapun menyuruh para pengawal mengheret menteri kekandang anjing yang kelaparan untuk menjalani hukuman. Masing-masing merasa sangat sedih dan para keluarga menteri meraung-raung di atas hukuman kejam yang bakal dijalankan.

Sebaik sahaja tiba di kandang anjing, para pengawal menyeret menteri dan menghumbankannya bersama anjing-anjing lapar itu. Seluruh perhatian tertumpu kepada menteri yang sedang dikerumuni anjing-anjing lapar yang menanti kedatangan manusia untuk dibahamnya.

Tiba-tiba keadaan tegang bertukar menjadi riuh-rendah dengan suara yang hadir. Mereka semua merasa sangat terkejut dan tidak percaya dengan apa yang sedang mereka lihat.

Anjing-anjing lapar itu tidak membaham dan menerkam kearah menteri. Sebaliknya anjing-anjing itu menjilat badan menteri penuh mesra. Seluruh anjing yang ada menundukkan kepalanya berhampiran kaki menteri sambil mengeluarkan bunyi yang sayu seperti merayu.

Keadaan bertukar rentak. Masing-masing sangat ingin tahu apakah sebenarnya yang berlaku. Mengapa anjing-anjing itu tidak menerkam tubuh menteri itu??

Raja pun memanggil menteri keluar dari kandang anjing dan menyoal beliau: Menteri, mengapa anjing-anjing ini tidak membaham tubuh kamu??

Jawab menteri: Tuanku, patik berkhidmat dengan Tuanku selama 10 tahun, akibat satu kesalahan kecil Tuanku terus menghukum saya dengan hukuman dahsyat dan sedikitpun tidak mahu memaafkan.

Lihatlah anjing-anjing ini Tuanku, patik memberi mereka makan selama sepuluh hari sahaja, tetapi mereka tidak melupakan patik. Bahkan datang dengan penghargaan.

Raja terharu dengan pengajaran itu dan akhirnya insaf dengan kelakuan buruk baginda.

Pandangan anda dihargai

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 1
  • 6
  • 11,798
  • 0