Antara rahsia kedamaian negara-negara Eropah ialah kerana kesediaan pemimpin-pemimpin mereka untuk ‘turun takhta’. Terbaru, pemimpin tertinggi negara Yunan atau Greece telah meletakkan jawatannya.
Disebabkan beberapa negara Eropah lain juga sedang dilanda masalah ekonomi yang meruncing, maka rakyat negara Itali dan Sepanyol juga sedang menekan pemimpin masing-masing untuk beredar.
Atas desakan itu, presiden Itali telah mula membayangkan bahawa beliau akan meletak jawatan!! Dengan hanya sedikit tekanan mereka faham dan akur. Tidak perlu ada nyawa yang terkorban dan tidak perlu tentera atau senjata yang perlu digunakan.
Situasi dalam negara-negara Islam sangat berlainan, apabila kejatuhan Suharto lebih kurang 10 tahun lepas menyaksikan kematian, penyeksaan dan darah. Terbaru, pemimpin Libya bernama Ghadafi telah membunuh 50,000 rakyatnya sebelum beliau ditangkap dan dihukum dengan tindakan yang sama. Itulah yang berlaku di Yaman, Syiria dan beberapa bulan dulu di Mesir dan Tunisia.
Persoalan yang perlu dijawab disini ialah mengapa perkara seperti ini berlaku? Apakah cinta jawatan itu ajaran agama Islam? Walaupun soalan kedua sangat mudah untuk dijawab, jawapan bagi soalan pertama sangat sukar sekali.
Fenomena kecintaan kepada jawatan bukan sahaja terjadi dalam kepimpinan negara Islam, bahkan ianya juga turut menjadi budaya dalam persatuan yang dipanggil gerakan Islam. Aliran sufi contohnya bukan sahaja mengamalkan kepimpinan seumur hidup bahkan percaya dengan hak kepimpinan dipegang oleh segolongan manusia atau keturunan.
Jika aliran sufi melakukannya akibat desakan kepercayaan agama, maka apakah aliran gerakan politik juga mempunyai kepercayaan yang sama?
Jika masyarakat tidak dididik dengan perinsip hak pengikut untuk menukarkan kepimpinan maka bilakah masanya akan lahir pemimpin yang sanggup turun takhta ini dalam masyarakat Islam?