Semasa di perkuburan tazkirah ringkas disampaikan oleh Ustaz Yusnan. Tazkirah mengingati kematian itu amat tepat pada ketikanya, cukuplah kematian itu sebagai satu peringatan.
Menyebut tentang tazkirah mengingati mati, teringat pula kepada konsep mengingati mati. Ingat mati adalah satu ubat dan penawar yang amat mujarab bagi penyakit hati. Apa tidaknya, kematian akan memutuskan kita dari dunia dan kelazatannya.
Kematian orang lain adalah satu pengajaran yang amat berguna untuk menambat hati yang terlalu liar. Menghadiri majlis kematian pula adalah satu pelajaran praktikal yang amat berguna. Segala keindahan dunai ini akan kita tinggalkan.
Kematian mengingatkan kita betapa hitungan dan perhitungan berkisar dari sudut kemanusiaan, nilai, harga diri, maruah dan semuanya tersimpul dalam kalimah agama.
Ditengah-tengah gesaan untuk mengingati mati, perlu juga kita membimbing sesetengah manusia yang tersasar dalam sinaran cahaya. Ramai juga yang menjadikan mengingati mati sebagai satu alasan untuk bermalas-malasan. Meninggalkan tugas mengimarahkan dunia atas alasan kematian yang akan menjemput kita adalah alasan lapok yang tidak perlu dijadikan sebab.
Mudah-mudahan mengingati mati dalam bentuknya yang positif akan menguatkan produktiviti kita dan meningkatkan motivasi untuk terus cemerlang dalam segala bidang. Ingatlah mati akan menjemput kita dan kedatangannya adalah pasti, oleh itu jadilah seorang insan yang cemerlang kerana peluang tidak akan berulang lagi.
Pandangan anda dihargai