Budaya Bermazhab dan Bertaqlid Dalam Masyarakat Malaysia (6) - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


Budaya Bermazhab dan Bertaqlid Dalam Masyarakat Malaysia (6)

Faktor Budaya Berpegang Dengan Mazhab

Secara umumnya masyarakat umum Malaysia masih belum memahami secara terperinci mengenai hukum taqlid dan mazhab. Rata-rata masyarakat umum menganggap hukum Islam adalah satu dan tidak ada pendapat lain yang boleh bercanggah dengannya. Kefahaman ini timbul kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang dibawa oleh seorang nabi dan disana hanya ada satu quran. Kebenaran pada mereka adalah satu.

Kebanyakan ahli masyarakat juga berpendapat bahawa hukum Islam tidak boleh berubah sama sekali. Bagi golongan berpelajaran pula ramai yang berpendapat bahawa mereka wajib mengikuti mazhab Syafie.

Pendapat ini dipegang secara meluas dalam golongan berpendidikan agama disebabkan kata-kata Imam Nawawi yang memuji Mazhab Syafie. Hujah Nawawi tentang kelebihan mazhab Syafie:

“Dan oleh kerana Imam al-Shafie adalah merupakan imam yang terkemudian dari sudut masa, maka beliau telah melihat mazhab-mazhab mereka seperti mana mereka melihat mazhab-mazhab ulama’ sebelum mereka. Maka beliau menperhalusinya, mengujinya dan mengkritiknya dan memilih yang paling rajih (kuat) dan beliau mendapat hasil daripada usaha ulama’2 sebelum beliau yang telah meletakkan gambaran dan pengasasan, maka beliau telah meluangkan masa untuk memilih dan mentarjih dan menyempurnakan dan meminda, dengan pengetahuan beliau dan kebijaksanaan beliau dalam pelbagai bidang ilmu. Dan dengan perkara ini beliau mendapat kedudukan yang lebih kuat dan rajih, kemudian tidak ada selepas beliau, (alim) yang mencapai kedudukan seperti beliau dalam perkara ini. Maka dengan ini, mazhab beliau adalah mazhab yang paling utama untuk diikuti dan bertaqlid dengannya – dan ini dengan jelasnya bahawa kita mestilah berlaku adil dan tidak ada meletakkan sebarang sikap memandang rendah pada salah seorang daripada para imam.

Hal ini, apabila diteliti oleh si awam akan memandunya kepada memilih mazhab Imam al-Shafie dan bermazhab dengannya.” Selain dari memuji Mazab Syafie, Nawawi juga berpendapat adalah wajib mengikut salah satu mazhab empat dan haram berpindah-pindah mazhab ataupun talfiq:

“Dan tidak boleh bagi si awam itu bermazhab dengan mazhab salah seorang daripada imam-imam di kalangan para sahabat r.anhum dan selain daripada mereka daripada generasi-generasi yang terawal, walaupun mereka lebih alim dan lebih tinggi darjatnya berbanding dengan (ulama’) selepas mereka; ini adalah kerena mereka tidak meluangkan masa sepenuhnya untuk mengarang ilmu dan meletakkan prinsip-prinsip asas dan furu’nya. Maka tidak ada bagi salah seorang daripada mereka sebuah mazhab yang telah dihalusi, dianalisis dan diperakui. Hanyasanya, (ulama’2) yang datang selepas mereka yang merupakan pendokong mazhab para sahabat dan tabien lah yang melakukan usaha meletakkan hukum-hukum sebelum berlakunya perkara tersebut; yang bangkit menerangkan prinsip-prinsip asas dan furu’ mereka seperti (Imam) Malik dan (Imam) Abu Hanifah dan selain dari mereka berdua.” Kitab Majmuk Nawawi.

Pendapat ini amat dipegang oleh para ulamak tradisional di Malaysia. Antara faktor yang membuatkan sebahagian ulamak masih berpegang teguh dengan perinsip ini ialah kurangnya pendedahan terhadp isu –isu semasa.

Orang-orang yang tidak terlibat dalam industri perbankan misalnya akan merasakan tidak ada halangan untuk mereka mengupas hukum hakam berdasarkan beberapa buah kitab rujukan sahaja. Kupasan agama yang berkisar dalam peroalan ibadat sahaja tidak akan menampakkan tuntutan untuk meneroka pendapat-pendapat ulamak dunia semasa. Ini kerana sifat ibadat adalah tetap dan tidak banyak perubahan pendapat yang diperlukan dalam bidang tersebut.

Situasi sekeliling juga memberi kesan terhadap pemikiran bermazhab. Di kawasan perkampungan dan negeri-negeri Pantai Timur misalnya, masyarakat Melayu merupakan mejoriti dan kaum-kaum lain adalah amat sedikit bilangannya. Akibat kurangnya perhubungan dengan masyarakat Islam lain, maka pengamalan agama yang diamalkan adalah merupakan warian nenek moyang dan tiada pengamalan asing yang dilihat oleh masyarakat.

Kesimpulan dan Penutup

Setelah melihat kepada faktor-faktor itu tadi, dapat disimpulkan bahawa pengamalan mazhab dan taqlid di Malaysia masih berlaku dengan berleluasa tetapi kebanyakannya diamalkan oleh golongan masyarakat berikut:

1- Masyarakat awam yang tidak mempunyai pengetahuan agama yang mendalam.

2- Penduduk kawasan yang tidak terdedah dengan keadaan berbilang bangsa dan keturunan.

3- Ahli-ahli agama yang kurang terlibat dalam menyelesaikan isu-isu semasa.

Golongan ini mempunyai pandangan wajib berpegang dengan satu mazhab dan haram meninggalkan mazhab atau melakukan talfiq. Mereka walaubagaimanapun akan menerima hukum-hakam yang telah diketahui umum walaupun bukan dari mazhab Syafie kerana kebiasaan pengamalan masyarakat seperti mengadakan tahlil bagi menghadiahkannya kepada orang yang telah mati.

Fenomena menggunakan pendapat selain mazhab Syafie berlaku dalam bidang muamalah contohnya pengharusan kontrak tempahan, mengharuskan dikenakan denda bagi peminjam yang melewatkan pembayaran hutang yang dibolehkan oleh ulamak Hanafi. Keadaan ini tidak dianggap oleh masyarakat sebagai ancaman kepada pegangan satu mazhab kerana isu-isu muamalat tidak mendapat pendedahan yang meluas dalam masyarakat. Masyarakat hanya bertindak menerima sahaja pendapat yang tersebar dan menganggapnya sebagai satu yang datang dari mazhab Syafie.

Pandangan anda dihargai

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 1
  • 4
  • 12,737
  • 0