Pemikiran mendatar dan luaran, analisis mudah dan sambil-lewa bukan termaktub untuk mana-mana bangsa dan bukanya takdir yang mahtum. Pemikiran sathiyah tidak mengira siapa, boleh dianuti oleh segenap lapisan masyarakat dan seluruh bangsa. Dan inilah yang biasa terjadi. Mungkin kita juga menggunakan teknik pemikiran ini dalam sebahagian keputusan dan tindakan yang diambil lantaran kekurangan dan kelemahan yang bersifat manusiawi.
Namun, perjuangan seorang manusia ialah untuk membangunkan nilai diri dan akalnya, membangun daya taakul dan fungsi akalnya dari semenjak dia dilahirkan sampailah jasadnya dikembalikan ketempat asal kejadiannya.
‘Fi Kabad’ yang diistilahkan oleh al-Quran itu turut merangkumi mehnah dan perjuangan insan mengenal dan mempelajari. Memuaskan satu tuntutan diri yang bersifat minda dan nashwahnya berlaku dalam menuruti simpang siur maklumat bak rumah ankabut.
Jika begitulah umumnya pemikiran sathiyyah, maka bagaimana pula langkah untuk keluar dari kegelapan ini? Adakah di sana jampi serapah yang boleh menjauhkan penyakit yang boleh mengenai setiap yang bernama manusia? Jawapannya ialah ya dan ya.
Langkah pertama sebagai permulaan, seorang sarjana khususnya mestilah meluaskan pengetahun dalam bidang yang diperkatakan. Jika kita mahu menghukum ke atas Ikhwan Muslimin misalnya. Biarlah kita telah mengetahui tentang kumpulan itu sebaik mungkin. Mengetahui itu pula ada dua macam. Pertama mendengar ulasan orang tentang perkara itu, keduanya menemui sendiri maklumat melalui sumber terdekat.
Contoh yang saya pernah buat ialah bila media menghukum terhadap jamaah al-Arqam. Bila kerajaan mengharamkan kumpulan itu atas dasar ianya bertentangan dengan akidah. Ya, kita dituntut bersangka baik, tetapi kita juga dituntut untuk bertindak jika ada kesilapan.
Maka bacalah tulisan orang tentang al-Arqam, selepas itu bacalah tulisan orang al-Arqam sendiri. Ya sangat berlainan nampaknya dua sumber itu. Akhirnya untuk memastikan lagi apa saya telah mula kumpul maklumatnya ialah saya telah pergi berjumpa dengan Syeikh al-Arqam ketika itu.
Balik dari berjumpa beliau, seorang pengikut al-Arqam yang membawa saya bertanya: Apa pandangan ustaz terhadap al-Asari? Saya kata: Dia sesat.
Percubaan kita untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat dalam perkara yang berkaitan akan memberikan kita maklumat yang lebih tepat dan benar. Akhirnya gambaran sebenar itu membuatkan kita menjatuhkan hukuman yang adil terhadap sesuatu.
Kerana hal ini, golongan akademik yang membuat kajian dan berada di universiti kebiasaannya lebih tepat pandangannya terhadap sesuatu perkara berbanding pembuat keputusan yang berdasarkan tanggapan dan kebarangkalian yang umum. Yang melihat sesuatu masalah dan membuat rumusan mudah. Ini kerana pengkaji profesional memiliki kekuatan metod dan kekuatan budjet yang memungkin mereka menngumpulkan sebanyak mungkin maklumat dan setepat mungkin pengetahun terhadap sesuatu hakikat.
Sayangnya kumpulan ini tidak diketengahkan sebagai ‘orang alim’. ‘pakar rujuk’ dan ‘ikon’ dalam masyarakat. Mereka tenggelam dalam keghairan mengejar ‘orang popular’. Kerugiannya ialah masyarakat tidak diangkat tahap pemikirannya.
Pandangan anda dihargai