Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Perubahan fizikal, seksual mula dirasai pada usia 40 tahun
LELAKI dalam lingkungan usia 40 ke 60 tahun kerap dikaitkan dengan krisis pertengahan usia. Walaupun mungkin ada yang memandangnya dari sudut negatif, ia sebenarnya sebahagian proses kematangan normal.
Semua orang akan melalui detik perubahan emosi dalam hidup. Namun, bagaimana anda menangani perubahan itu yang akan mempengaruhi hidup. Ada lelaki yang berjaya mengharunginya dengan baik.
Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, berkata jika wanita mengalami putus haid, lelaki pula kerap tersepit dalam permasalahan di usia pertengahan.
Ada penyelidik yang melihatnya sebagai andropaus, namun bagi Dr Muhsin ia sebenarnya lebih kepada keupayaan seseorang lelaki itu untuk menangani masalah yang dihadapinya.
“Perkara paling asas ialah menjaga pemakanan dan bersenam, selain berada dalam persekitaran yang positif,” katanya.
Kata Dr Muhsin, lelaki dengan emosi yang tidak stabil mula berfikiran negatif, membandingkan kejayaan dirinya dengan rakan, sekali gus memberi tekanan dan mula berasakan kehidupannya akan berakhir tanpa sebarang pencapaian.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan perubahan hormon yang mempengaruhi bukan saja fizikal tetapi keinginan seksual dan dihimpit permasalahan peribadi dengan pasangan.
“Hormon testosteron bukan saja mempengaruhi keinginan seksual, tetapi apabila parasnya menurun ia juga menjejaskan pemikiran dan tubuh badan,” katanya.
Perubahan biologi dilalui oleh semua orang lelaki dan wanita tetapi perubahan itu tidak sama. Ia berkait dengan isu paling asas, menjaga pemakanan dan mengawal berat badan dan berada dalam suasana persekitaran yang kondusif.
Ada kala tekanan perasaan pada pekerjaan ditambah dengan masalah kesihatan akan menyebabkan lelaki hilang kawalan dalam hidupnya. Ada juga lelaki yang berkeinginan memulakan hubungan baru kerana melihat kehidupan sosialnya yang semakin stabil dan anak-anak juga sudah meningkat dewasa.
Dr Muhsin berkata, lelaki yang berdepan dengan krisis pertengahan umur kerap tidak menyedari masalah sebenar. Isteri atau ahli keluarga yang rapat boleh membantunya. Perubahan sikap dan mood boleh memberi petunjuk masalah sebenar dialami.
Jika ia dikaitkan dengan masalah andropaus, ia perlu dirujuk kepada doktor. Mengambil terapi gantian hormon antara rawatan yang ditawarkan perubatan Barat. Namun, keupayaan mengawal diri, bersenam dan menjaga kesihatan adalah antara langkah paling asas dan utama.
Wacana Ilmuan:
Tengahari tadi, masa saya jalan-jalan di Kajang, sempat saya masuk ke kedai cermin mata. Katanya sapa saja yang berumur 40 akan akan mengalami rabun dekat. Emmm rasa saya belum lagi, tidak, kata penjual tu, mesti ada punya, saya pun mula survey mana yang sesuai dan meninggalkan kedai.
Bila sampai dirumah saya jumpa artikel ni, artikel ini bukan tazkirah untuk saya saja, tapi tazkirah buat yang sebaya. Maklumlah dengar apa yang ada dalam artikel diatas rasa macam kena tempiasnya, mudahan dapat berkongsi dengan yang terlepas pandang kat berita harian. bagi yang lebih muda, bersedialah menghadapinya akan tiba masanya untuk anda pula eheh..
Pandangan anda dihargai