Ustaz Obama dan Kota Cordoba
Semua orang tahu Obama adalah Presiden Amerika. Apa yang menarik pada Obama ialah beliau beriaia sangat untuk menjalinkan persahabatan dengan negara-negara Islam. Beliau baru sahaja membuat lawatan ke negara Mesir dan sebelum itu ke Arab Saudi.
Ucapan Obama di Mesir sangat lunak. Menyampaikan salam umat Islam di Amerika untuk saudara mereka di Mesir. Berulang kali beliau menyatakan keinginan untuk membuka lembaran baru bersama umat Islam. Hak rakyat Palestin dan Islam fobia. Persembahan Obama menjadi lebih menarik apabila beliau bertindak menundukkan diri ketika bersalam dengan Raja Saudi satu ketika dulu.
Ucapan beliau telah menerima berbagai reaksi dari segala macam aliran yang ada di bumi Islam. Ada golongan yang menganggap ucapan itu hanyalah idea basi yang telah lama dimainkan oleh pemimpin taghut. Tidak lebih dari itu.
Sebahagian pula merasakan inilah peluang yang dinanti-nantikan. Dunia akan berubah, Obama datang membawa segala yang dinantikan oleh umat yang tertindas. Hanya hari dan ketikanya lagi yang akan menyaksikan perubahan dunia. Obama akan menelesaikan isu umat Islam Palestin, Sudan, Iraq, Afghanistan, Somalia dan lagi…dan lagi…
Ditengah-tengah situasi ini saya mahu mengulas tentang satu hakikat, iaitu hak dan maruah sesuatu umat, bangsa dan negara tidak akan dicapai dengan pemberian dari orang luar. Ini kerana maruah dan hak itu sesuatu yang amat berharga, ianya tidak dapat diambil dengan pemberian terutamanya dari orang yang asing dari bangsa itu sendiri.
Selain itu, maruah dan kehormatan bangsa adalah terbina dari dalam bangsa itu sendiri. Bagaimana orang akan menghormati kita kalau kita bersifat keji? Bagaimana orang akan memartabatkan kita kalau kita seorang yang hina? Umat Islam sebenarnya tidak memerlukan kepada orang bukan Islam yang baik untuk menolong mereka. Umat Islam memerlukan pemimpin Islam yang berwibawa….kepimpinan yang bermaruah
Pendiran saya di atas tidak bermakna saya memperkecilkan tindakan Obama. Rentak tari beliau cukup hebat di atas gelanggang politik. Beliau bijak membuat persediaan dan memenangi hati umat Islam, tindakan itulah yang pemimpin Islam mesti pelajari.
Obama juga menyebut tentang Kerajaan Islam Spanyol, beliau memuji pemerintahan Islam yang berpusat di bandar Cordoba itu. Hari ini akhbar-akhbar Spanyol mengutuk ucapan Obama yang dianggap menyebelahi Islam walaupun ianya hanyalah fakta sejarah.
Ucapan Obama tidak patut diterima dengan maki hamun oleh sesetengah pelampau yang berjiwa kecil. Ada juga menyambut ucapan itu dengan mempersembahkan kata-kata nista dan tomahan. Bagi saya itulah menifestasi daripada keidak matangan umat Islam masakini.
Ucapan yang baik mestilah dibalas dengan baik. Jika Amerika menghulurkan tangan persahabatan, sepatutnya negara-negara Islam atau gerakan Islam mengambil peluang untuk menunjukkan kepada Barat bahawa Islam telah lama berbuat demikian. Kita sentiasa inginkan kedamaian. Tak bolehkah jika politik atau siasah yang sama digunakan selagi mana anda di pentas itu? Saya amat menunggu-nunggu ucapan ketua agama atau ketua gerakan Islam malaysia membuat ucapan yang positif tetapi berhemah terhadap ucapan itu. Atau umat Islam Maaysia kurang sensitif dengan percaturan antarabangsa?
Mengapa saya menamakan Presiden Amerika ini dengan ustaz? Sebenarnya ucapan Obama di Mesir dimulakan dengan salam dan menggandungi ulasan terhadap ayat quran dan disulami pula dengan berbagai unsur kemanusiaan.
Habis apa hubungannya dengan ustaz? Biasalah orang kita, kalau orang pandai ceramah sikit, sebut quran sikit, pandai cakap bab agama sikit terus panggil ustaz. Tak kira lah mereka tu penyanyi ke, pelakon ke, doktor ke dan macam-macam lagi. Yang penting pandai ceramah dan pandai sikit sebut pasal agama. Kalau saya guna kaedah itu Obama pun layak di panggil ustaz, macam mana? hancur kita dibuatnya.
pandangan anda dihargai
Salam ziarah..
erm,suke entri ni, buat sye berfikir:)
tq