Asas Kefahaman Islam (14)
Kita masih membincangkan polemik kedua iaitu isu bid’ah. Seperti yang saya katakan ialah isu bid’ah mempunyai titik pertemuan dan titik perselisihan. Bukannya semua bid’ah disepakati oleh para ulamak.
Salah satu contohnya ialah bacaan qunut dalam solat. Sebahagian ulamak menganggapnya sunat muakad dan sebahagiannya menganggap bid’ah. Begitu juga dengan bacaan doa berjamaah selepas solat, wirid beramai-ramai dan banyak lagi amalan masyarakat kita hari ini termasuk dalam bid’ah yang tidak disepakati.
Bid’ah yang disepakati oleh ulamak ialah amalan khurafat seperti memuja kubur , amalan sihir, dan penambahan-penambahan pada asas agama dan ibadat seperti sembahyang hanya dengan niat, haji bukan di Mekah dan berbagai amalan yang kita kenali sebagai ajaran sesat.
Pendirian kita dalam menangani masaalah bid’ah yang disepakati adalah jelas, iaitu kita menolaknya dengan tiada kompromi. Permasaalahannya ialah apakah pendirian kita terhadap bid’ah yang tidak disepakati?
Persoalan ini agak memeningkan masyarakat, terutamanya apabila ramai penceramah agama yang amat menekankan pengajaran tentang bahagian ini, membetulkannya dan menyesatkan pengamalnya.
Jawapannya ialah, perselisihan dalam bab ini hanyalah perselisihan pendapat dalam masaalah fekah sahaja, apa yang patut diakui ialah ianya tidak membawa kepada kesesatan. Namun demikian ini tidak menghalang seseorang itu daripada mengikut mana-mana guru yang mereka rasakan betul apabila guru itu mempunyai ilmu yang boleh dipercayai dan tidak melakukan perbuatan dosa besar secara terang-terangan. Inilah yang dinamakan ‘adalah dalam istilah syarak.
Saya akan memberikan contoh yang lebih praktikal. Ada orang yang menganggap membaca Yasin pada setiap malam Jumaat sebagai bid’ah. Jika dia bukan orang alim, maka sudah tentu dia mengambil maklumat itu daripada orang yang dia yakini mempunyai dua syarat tadi. Maka dia pun menganggap cara itu bid’ah. Dia pun enggan membaca Yasin pada malam Jumaat.
Seorang lelaki yang lain pula menganggap perbuatan itu baik dan tidak bid’ah. Ajaran ini diambilnya dari seorng ustaz yang juga berwibawa, dia pun mengamalkan bacaan Yasin pada malam Jumaat. Siapakah yang bersalah dan betul dalam bab ini?
Jawapannya ialah kedua-dua orang itu betul kerana mereka telah bertaqlid atau mengikut orang yang dirasakan mempunyai kewibawaan dalam agama. Mereka sudah tentu tidak dapat menyelidik sendiri hukum hakam tersebut kerana ketiadaan ilmu.
Apa yang penting dari kedua-dua orang yang bersalahan dalam amalan tadi ialah mereka tidak boleh memaksa salah satu pihak untuk mengikut pendirian mereka, ini kerana bentuk perbuatan itu adalah termasuk dalam perkara yang diperselisihkan oleh ulamak.
Begitu jugalah dalam perkara-perkara hukum cabang lain yang tidak disepakati. Jika ahli masyarakat faham dengan situasi ini, maka banyaklah perpecahan akan dapat dihindarkan, kesatuan umat Islam akan dapat dipupuk dengan mudah, kekuatan umat Islam pada waktu itu dapat dihalakan kearah menyekat perkara-perkara yang disepakati sesat dan menyeleweng.
Namun demikian nafsu manusia amat susah untuk dikawal, terutamanya nafsu orang agama, mereka sering suba menganggap pendapat yang mereka ikuti mesti diikuti oleh orang lain juga. Orang yang membaca Yasin malam Jumaat akan memandang orang yang tidka membacanya dengan pandangan serong dan melebelkan mereka dengan berbagai lebel yang membangkitkan kemarahan. Orang yang tidak membacanya pula memandang perbuatan tersebut dengan penuh jijik, lalu berlakulah pertembungan.
Situasi yang merugikan umat Islam itu sentiasa berlaku dan kejadian ini kebiasaanya terjadi di masjid. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat kesatuan orang Islam bertukar menjadi medan pertempuran. Kekuatan dihabiskan bagi memerangi perkara cabang yang ringan timbangannya, anjal sifatnya. Kiaskanlah kefahaman ini kepada hukum-hukum cabang yang lain. Mudahan dengan memahami polemik ini dengan baik akan membawa kepada kekuatan Islam yang lebih bermakna, tambahan lagi pengimarah masjid hanyalah 1%-5% sahaja dari penduduk. Jumlah yang sudah kecil dikecilkan lagi dengan pertikaian.
Mudahan Alah menyatukan hati orang yang beriman, amin.
pandangan anda dihargai