*TADABBUR WAHYU SIRI 892*
*Surah al-Maidah: 94*
Setiap Insan Akan Diuji Oleh Allah
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَيَبْلُوَنَّكُمُ ٱللَّهُ بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلصَّيْدِ تَنَالُهُۥٓ أَيْدِيكُمْ وَرِمَاحُكُمْ لِيَعْلَمَ ٱللَّهُ مَن يَخَافُهُۥ بِٱلْغَيْبِ ۚ فَمَنِ ٱعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِيم.
- Wahai orang-orang yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa kamu berihram) dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan (mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah ketahui wujudnya sesiapa yang takut kepadaNya semasa dia tidak melihatNya semasa dia tidak dilihat orang. Oleh itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian maka baginya azab yang tidak terperi sakitnya.
Ayat ini menerangkan bagaimana Allah akan menguji manusia dengan berbagai ujian. Hal ini mengingatkan kembali kepada perbincangan tentang arak, judi dan lain-lain larangan Allah. Ia adalah ujian Allah dari sudut keinginan dan kecenderungan manusia untuk melakukannya.
Menurut Ibnu Asyur, sewaktu ayat ini diturunkan, masih belum berlaku lagi peristiwa sahabat berburu dalam perjalanan mereka menunaikan haji. Ini kerana perkataan “walanabluannakum” maksudnya sasungguhnya Allah akan menguji kamu. Dalam perkataan ini digunakan nun taukid dalam ayat yang berbentuk positif. Ia membawa maksud akan datang atau Allah akan menguji.
Terdapat riwayat daripada Muqatil yang mengatakan, sewaktu kaum muslimin mahu mengerjakan umrah sebelum peristiwa Hudaibiyah, rombongan mereka telah bertembung dengan binatang buruan yang banyak. Sehinggakan ada dikalangan mereka yang menangkap dengan tangan sahaja binatang-binatang buruan tersebut. Ada pula dikalangan ahli rombongan yang tidak menangkapnya, sehubungan dengan itu turunnya ayat diatas menerangkan tentang keadaan itu. Ia adalah ujian dari Allah kerana tidak boleh bagi orang yang berada dalam ihram untuk berburu.
Ibnu Asyur juga membawa pandangan Ibnu al-Arabi yang mengatakan bahawa dugaan dan ujian Allah ini bukan sahaja ditujukan kepada mereka yang mahu mengerjakan umrah dan haji. Ujian ini sebenarnya ditujukan kepada semua orang kerana mereka juga tertakluk kepada undang-undang danh hukum-hakam berkaitan berburu ditanah haram. Maka mereka juga berada dalam ujian Allah.
Seterusnya ayat ini menerangkan sebab ujian itu dikenakan kepada orang beriman. Ia adalah bagi menzahirkan keimanan seseorang ke dunia nyata dan boleh dilihat oleh manusia, bukan berada dalam ilmu Allah sahaja.
Ayat ini menyebut tentang orang yang takut kepada Allah sedangkan dia tidak melihat Allah dan dia tidak dilihat oleh sesiapa. Ini adalah bukti kepada ketakwaan sebenar. Ini kerana dia percaya kepada Allah dan kepada kekuasaan Allah dengan tidak perlu melihat kepada zat Allah tetapi hanya dengan melihat kepada tanda-tanda kekuasaan Allah pada alam semesta ini.
Selain itu, dia juga takut kepada Allah ketika bersendirian dan tidak ada orang yang melihatnya. Hal ini menterjemahkan sifat ikhlas yang tinggi dan ketulusan iman sebenar kerana orang yang tidak ikhlas sering bertindak baik di depan manusia tetapi sanggup melakukan kemaksiatan ketika orang tidak melihat perbuatannya. Semoga kita termasuk dikalangan orang-orang yang bertaqwa dan beramal soleh.
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
drrosli.com
tadabburwahyu.com
13 Sya’ban 1444
6 Mac 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟