*TADABBUR WAHYU SIRI 881*
*Surah al-Maidah: 76*
Tuhan-tuhan Yang Disembah Selain Allah Tidak Memiliki Kuasa Sedikitpun
قُلْ أَتَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لاَ يَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا وَلاَ نَفْعًا وَاللَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ.
- Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Ayat ini ditujukan kepada seluruh mereka yang berkenaan, iaitu orang-orang yang menyembah selain dari Allah. Pertanyaan ini, seperti banyak ayat pertanyaan sebelum ini dinamakan sebagai istifham istinkari. Iaitu pertanyaan untuk menunjukkan tidak sepatutnya mereka melakukan perbuatan menyembah selain Allah.
Menurut Ibnu Asyur, ayat ini tidak bermaksud mereka menyembah selain Allah semata-mata. Sebaliknya mereka yang dimaksudkan itu telah syirik kepada Allah. Kaum Yahudi, Nasrani dan orang-orang Arab jahilliyah menyembah Allah, akan tetapi mereka mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain dan itulah punca kesesatan mereka.
Ayat ini menerangkan illah atau sebab mengapa tuhan-tuhan yang disembah selain Allah itu sebenarnya tidak layak disembah. Mereka yang mimiliki akidah yang terkeliru patut sedar bahawa apa yang mereka sembah itu tidak layak untuk dipuja. Ia tidak layak dijadikan tuhan kerana tidak memiliki kuasa samada kuasa untuk memberikan manfaat atau kuasa untuk memberikan mudarat.
Ayat ini menyebut tuhan-tuhan itu tidak mampu memberikan mudarat “darra”. Mereka juga tidak mampu memberikan manfaat. Didahulukan sifat tidak mampu memberi mudarat kerana menjauhkan diri dari perkara mudarat adalah lebih utama untuk didahulukan oleh manusia berbanding untuk mendapat manfaat.
Kaum mushrikin Mekah juga menyembah berhala demi meminta dilindung dari keburukan musuh dan untuk mengelakkan daripada bala serta keburukan keseluruhannya.
Ayat ini ditutup dengan rangkap terakhir yang menyebut sifat Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Ia bagi menjelaskan lagi penolakan terhadap kesyirikan yang dilakukan kerana sifat Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui sahaja yang layak disembah sementara pihak lain tidak layak disembah kerana mereka tidak memiliki sifat-sifat tersebut.
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
drrosli.com
tadabburwahyu.com
19 Rejab 1444
10 Februari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (Am Bank 8881052306539) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu