*TADABBUR WAHYU SIRI 879*   *Surah al-Maidah: 73-74*   *Kekufuran Membawa Kesengsaraan Dan Reda Allah Membawa Kesejahteraan* - Dr Rosli Mokhtar

Dapatkan Koleksi Ebook Percuma Karya Dr Rosli Mokhtar


*TADABBUR WAHYU SIRI 879*   *Surah al-Maidah: 73-74*   *Kekufuran Membawa Kesengsaraan Dan Reda Allah Membawa Kesejahteraan*

*TADABBUR WAHYU SIRI 879*

 

*Surah al-Maidah: 73-74*

 

*Kekufuran Membawa Kesengsaraan Dan Reda Allah Membawa Kesejahteraan*

 

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلاَثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلاَّ إِلَهٌ وَاحِدٌ وَإِنْ لَمْ يَنتَهُوا عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ.

 

  1. Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

Ayat ini merupakan jawapan kepada satu lagi penyelewengan yang berlaku dalam kaum Nasrani. Perbincangan berkenaan dengan isu ini telahpun dijelaskan ketika mengupas ayat 171 surah al-Nisa’.

 

Dengan jelas ayat ini menolak kepercayaan tuhan itu tiga. Mengikut Ibnu Asyur orang-orang Nasrani percaya bahawa tuhan itu tiga dalam istilah Aknum. Aknum pertama ialah Aknum Wujud iaitu Allah, Aknum Ilmu  iaitu Nabi Isa dan Aknum Hayah atau Hidup iaitu Roh Kudus.

 

Ada juga sebahagian daripada mereka yang percaya bahawa tuhan telah bersatu dengan Maryam sehingga Maryam sendiri menjadi sebahagian daripada tuhan.

 

Setelah menerangkan iktikad salah yang mengatakan Allah adalah salah satu dari tuhan, maka ayat ini menjelaskan dengan terang dan tegas bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah.

 

Penerangan ini sebenarnya tidak lagi meninggalkan sedikit pun ruang kekeliruan bagi mereka yang mencari kebenaran.

 

Dengan itu, kekeliruan itu hanya terhasil dari kedegilan yang tidak berasas, bagi menghadapi orang seperti ini Allah memberikan kepada mereka ugutan yang keras iaitu mereka akan dikenakan dengan azab yang pedih pada hari akhirat nanti.

 

أَفَلاَ يَتُوبُونَ إِلَى اللَّهِ وَيَسْتَغْفِرُونَهُ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

  1. Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

Dalam ayat ini Allah menggesa agar mereka yang telah melakukan kesalahan kembali kepadaNya. Yang demikian itu dengan melakukan dua perkara. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat dan perkara kedua ialah beristighfar.

 

Mengikut Ibnu Asyur, perbezaan antara taubat dan istighfar ialah, taubat bermaksud  meninggalkan apa yang sebelum ini dilakukan dengan kembali kepada iktikad yang benar dan ajaran yang sahih. Sementara beristigfar pula ialah meminta pengampunan terhadap kesalahan lampau dan menyesal di atas kesilapan yang telah dilakukan sama ada dalam bentuk perbuatan ataupun kepercayaan.

 

Dalam rangkap terakhir, ayat ini menegaskan bahawa Allah bersifat dengan sifat Maha Pengampun dan Maha Mengasihi. Sifat ini dinyatakan dalam bentuk sirah mubalaghah iait gaya bahasa yang menunjukkan kepada sangat.

 

Ghafur bermaksud Yang Sangat Mengampun dan Memaafkan sementara Rahim bermaksud Yang Sangat Merahmati. Penyataan ini merupakan janji Allah bahawa orang-orang yang meminta pengampunan akan dihindarkan daripada azab pada hari akhirat nanti dan untuk mereka rahmat Allah dan pengampunanNya.

Ustaz Dr Rosli Mokhtar

www.drrosli.com

tadabburwahyu.com

17 Rejab 1444

8 Februari 2023

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:

TADABBUR WAHYU SOLUTION (Am Bank 8881052306539) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652

🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lawati Sosial Media Dr Rosli

  • 0
  • 2
  • 13,382
  • 0