TADABBUR WAHYU SIRI 852
Surah al-Maidah: 47
Maqasid Penurunan Kitab Suci Adalah Untuk Diamalkan Kandungannya
وَلْيَحْكُمْ أَهْلُ الإِنجِيلِ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فِيهِ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْفَاسِقُونَ.
47.Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
Tadabbur Ayat
Perbincangan ayat ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian mengikut rangkap ayat.
Rangkap pertama firman Allah bermaksud:
Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya;
Mengikut imam al-Razi, ayat ini boleh difahami dalam dua bentuk:
- Ayat ini menceritakan kewajipan yang telah Allah berikan kepada Bani Israel agar mereka beramal dengan kitab Injil.
- Ia mengarahkan Ahli Injil di zaman nabi agar berhukum dengan injil berkenaan kedatangan nabi Muhammad saw, atau gesaan agar mereka mengamalkan ajaran injil yang tidak di beritahu oleh al-Quran atau ia sebenarnya amaran kepada mereka agar tidak mengubah kitab injil seperti yang telah dilakukan oleh kaum Yahudi.
Rangkap kedua firman Allah bermaksud:
dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
Ayat ini menjelaskan keperluan berhukum dengan kitab yang diturunkan oleh Allah kepada manusia. Kitab-kitab suci yang diturunkan oleh Allah bukanlah sekadar bacaan untuk diambil keberkatan semata-mata, sebaliknya ia adalah kitab rujukan dan manual amalan yang memandu manusia kearah jalan yang lurus.
Para ahli tafsir berselisih pandangan dalam memahami ayat ini secara terperinci. Ini kerana terdapat tiga ayat berbeza yang menyifatkan orang yang tidak berhukum dengan hukum allah. Mereka disifatkan sebagai orang yang kafir, orang yang zalim dan orang yang fasik.
Al-Qaffal berpandangan ketiga-tiga sifat itu ditujukan kepada pihak yang sama. Hal ini bagi beliau tidak menjadi kesilapan dari sudut Bahasa seperti menyifatkan seseorang dengan orang yang bertaqwa dan kadang kalanya dengan sifat soleh.
Al-‘Asam mengatakan sifat kufur ditujukan kepada orang Yahudi sementara zalim dan fasik ditujukan kepada orang Nasrani. Ada pula pandangan dari sebahagian ulama yang mengatakan sifat kufur bagi mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah dalam keadaan mengingkarinya dengan hati sementara sifat zalim dan fasik ditujukan kepada mereka yang semata-mata tidak melaksanakannya kerana maksiat.
Kesimpulannya ayat ini menegaskan tentang perlunya sesuatu umat itu untuk mengamalkan apa yang Allah turunkan dalam kitabnya. Sudah tentu pengamalan itu mestilah tepat dengan kehendaknya yang sekali gus menisyaratkan kepada perlunya wujud pengetahuan yang betul terhadap kitab suci dan kesediaan untuk melaksanakan arahan yang ada di dalamnya.
*Ustaz Dr Rosli Mokhtar*
14 Jumadil Akhir 1444
7 Januari 2023
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tafsir al-Kabir:al-Razi, al-Tahrir wa al-Tanwir:Ibnu Asyur, al-Manar:Rasyed Redha, al-Jamie li Aham al-Quran:al-Qurtubi, Fathu al-Bayan Fi Maqasid al-Quran:al-Qinauji. Al-Tafsir al-Munir: al-Zuhaili.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu